PEMIMPIN YANG BAIK AKAN DIINGATI JASANYA.


Ahmad Norazlan. 


 Sejarah sering membuktikan pemimpin yang patriotik dan hebat sering dibenci di awal pemerintahan dan disanjung di hujung pemerintahan atau setelah bersara, berbanding pemimpin yang oportunis dan korupsi yang disanjung pada awal pemerintahan dan dibenci pada akhir kekuasaan.



Bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew di awal pemerintahannya dibenci oleh rakyat Singapura kerana ketegasannya melaksanakan pembaharuan dasar negara.


Setelah terkeluar dari Malaysia, Singapura yang hanya negara kecil tanpa sumber alam dan hanya bergantung kepada pelabuhan amat memerlukan perubahan drastik dan menyeluruh yang pastinya sukar diterima rakyat pada awalnya.


Apa yang orang tidak tohmah terhadap Lee Kuan Yew, termasuk orang Melayu di Malaysia.


Di akhir pemerintahan beliau, Singapura antara negara hebat dalam pelbagai sisi.Matawang Dollar Singapura kekal kukuh sejak dahulu hingga kini berbanding Ringgit yang dahulunya sama nilai dengan Dollar Singapura, namun sejak awal dekad 1980an semakin merosot.


Penerbangan Singapura yang asalnya adalah satu dengan Penerbangan Malaysia hingga kini mengekalkan kecemerlangan berterusan di pentas dunia berbanding Penerbangan Malaysia yang mengalami kerugian berbelas tahun.Baru setahun ini ada keuntungan.


Dahulunya Malaysia dan Singapura adalah satu dan sama taraf kemajuan, namun kerana penyelewengan sistem dan budaya oleh pemimpin, politikus, penjawat awam dan rakyat, Malaysia semakin tertinggal jauh di belakang Singapura.


Untuk menyedapkan hati terdapat segolongan orang Malaysia akan mengungkit kelemahan dan kekurangan Singapura, seperti saiz negara dan rumah yang kecil, tidak ramai boleh memiliki kereta dan lain-lain yang berbangkit kerana faktor geografi dan bukan korupsi.


Berapa ramai pemimpin gerakan revolusi yang populis di awal pemerintahan tetapi gagal di akhir pemerintahan kerana alpa dengan sokongan rakyat, manakala rakyat pula taksub dan takjub terhadap pemimpin.


Hitler, Sukarno dan senarai yang panjang di benua Afrika, Eropah, Amerika Selatan dan Asia.Kesemua mereka adalah pemimpin populis di kalangan rakyat di awal pemerintahan tetapi berakhir dalam keadaan berbeza.


Semoga rakyat Malaysia kekal bersikap kritis terhadap pemimpin dan kerajaan serta pembangkang demi sistem dan budaya pentadbiran dan politik yang cemerlang.


Semoga Malaysia 🇲🇾 kembali hebat seperti dahulu.



No comments:

Post a Comment