PEMFITNAH ISU 34 DI DENDA RM25 RIBU! INI SEBAB KENAPA POSTING MB SAM DIP...


Gara-gara memulakan hantaran palsu mendakwa tiada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran tahun ini, seorang individu didenda RM25,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Individu itu dikenakan denda di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) kerana memuat naik kandungan palsu. SKMM dalam satu kenyataan berkata, individu terbabit didapati bersalah kerana menggunakan perkataan yang menyentuh isu 3R (bangsa, agama, raja). “Individu berkenaan telah memuat naik status di Facebook yang menyebut bahawa majlis tahunan anjuran kerajaan itu tidak akan diadakan kali ini setelah dipengaruhi oleh pihak tertentu. “Seksyen 233 AKM 1998 melarang antara lain pembuatan atau penghantaran komunikasi yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain,” kata kenyataan itu. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali. Pada awal April tahun ini, tular hantaran yang dimuat naik sejumlah pemilik media sosial, mendakwa tiada majlis tilawah al-Quran diadakan tahun ini. Mesej tersusun yang cuba memburukkan kerajaan itu dapat dikesan dengan mudah kerana ayat digunakan mereka kelihatan serupa (identical) dengan sedikit olahan. Sementara itu SKMM mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian dengan menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu. Orang ramai juga perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang maklumat yang diterima dan jika tidak pasti, rujuk dahulu dengan pihak berwajib atau sumber-sumber rasmi untuk pengesahan.