\\\
Pelarasan gaji penjawat awam akan diumum tidak lama lagi
- Oleh MOHD RASDAN AHMAD
- 30 Julai 2024, 12:41
KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memuktamadkan inisiatif
penambahbaikan gaji yang turut merangkumi pelarasan gaji penjawat awam dijangka
akan diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.
Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata,
beberapa pengumuman penting hasil kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)
dijangka akan diumum Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana
Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, Ogos depan.
“Secara
dasarnya pencen yang diterima oleh pesara dan penerima pencen akan turut
diselaraskan mengikut Seksyen 3 Akta Penyelarasan Pencen 1980.
“Seksyen
ini memperuntukkan pencen atau elaun pesaraan seseorang pegawai hendaklah
diselaraskan sekiranya terdapat semakan gaji kepada pegawai awam yang sedang
berkhidmat,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Jelasnya,
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling berkenaan
pelaksanaan SSPA yang akan menjelaskan mekanisma penyelarasan gaji secara
terperinci.
Sebelum
ini, menerusi beberapa ucapan Perdana Menteri memberi bayangan peratusan
kenaikan gaji adalah sesuai dengan bebanan tugas pegawai awam dan telah
mengambil kira kos sara hidup semasa.
Katanya lagi, beliau difahamkan kuantum kenaikan gaji bagi kakitangan awam gred rendah turut mengambil kira paras garis kemiskinan. – KOSMO! ONLINE.