MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN! REMAN 4 HARI LAGI DITERUSKAN! APA CERITA?


Pasangan suami isteri pempengaruh media sosial yang terpalit isu dakwaan menyeleweng kutipan derma kekal ditahan reman empat hari selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mengetepikan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya semalam. Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan yang difailkan Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, atau dikenali sebagai Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, selepas mendapati Majistret mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dalam membenarkan permohonan reman oleh SPRM. "Pihak SPRM seharusnya dibenar melengkapkan siasatan mereka terhadap pemohon dan perintah reman oleh Majistret ke atas mereka adalah sah. Oleh itu, permohonan untuk semakan ditolak," katanya. Terdahulu, peguam Abd Rahim Ali berhujah anak guamnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana badan awam seperti termaktub dalam Seksyen 3 Akta SPRM yang membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama. "Pemegang saham dalam syarikat Hijanah Haul Holdings Sdn Bhd hanyalah Orang Yang Disyaki (OYDS) pertama dan kedua. Ahli-Ahli dalam syarikat itu juga bukanlah pegawai badan awam dan pihak kami berhujah tiada kaitan antara kedua-dua suspek dan kesalahan yang disyaki.