Migdad Zakaria.
Kenyataan Abdul Hadi, Mohd Asri menyimpang dari prinsip Siyasah Syar'iyyah
1. Pembentangan RUU Mufti Wilayah (2024) telah menimbulkan polemik dan kegusaran awam.
2. Hal ini terjadi kerana ada pihak yang tidak senang dengan takrifan Ahlul Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ) yang dinyatakan dalam RUU itu. Mereka menolak takrifan ASWJ berdasarkan manhaj al-Asya'irah dan al-Maturidiah dalam bab akidah, mazhab Syafi'e dalam feqah (terbuka kepada tiga mazhab Islam yang lain dalam sesetengah keadaan) dan aliran tasawuf Imam al-Ghazali dan Imam al-Junaid.
3. Faktanya, RUU itu cuma terhad untuk jawatan mufti dan timbalan mufti dalam Wilayah Persekutuan sahaja (rujuk seksyen 3 dan 4 RUU tersebut seperti tangkap layar di bawah), BUKAN untuk menetapkan pegangan dan amalan umat Islam penduduk Wilayah Persekutuan. Jauh sekali untuk menetapkan mazhab al-Asya'irah dan al-Maturidiah sebagai agama negara.
4. Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengatakan semua ulama Islam tidak membenarkan mazhab dijadikan sebagai agama negara adalah menyimpang daripada maksud asal RUU tersebut dan tersasar dari prinsip siyasah syar'iyyah yang membenarkan pemerintahan bertindak demi kemaslahatan rakyat.
5. Cadangan RUU Mufti Wilayah hanyalah bertujuan menyelaraskan pentadbiran kefatwaan dalam Wilayah Persekutuan, bukan untuk menjadikan aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiah, mazhab Syafi'e dan tasawuf Imam Ghazali sebagai agama negara.
6. Penyelarasan pentadbiran kefatwaan adalah penting untuk mengelakkan fatwa-fatwa dikeluarkan pada masa akan datang akan mencetuskan porak-peranda dalam kalangan umat Islam.
7. Bayangkan jika mufti Wilayah Persekutuan akan datang menfatwakan atau melarang pengajaran Sifat Dua Puluh sebagai satu manhaj pembelajaran akidah, melarang bacaan qunut dalam solat Subuh, menghalang majlis tahlil, talqin dan banyak lagi amalan yang selama ini dipertikai atau dipersenda oleh aliran yang menamakan diri mereka Salafi. Apa akan terjadi pada masyarakat Islam yang sudah berabad lamanya mengamalkan amalan itu? Kalau mereka benar-benar terbuka, kenapa mereka menyesatkan atau memperlekeh orang Islam yang mengamalkannya, sedangkan amalan itu ada sandaran dan hujah bagi ulama yang menerimanya.
8. Dakwaan Mufti Perlis bahawa "tidak wajar kerajaan meluluskan sebarang perundangan yang membelenggu pemikiran rakyat, merampas kebebasan berfikir dan akademik atas nama agama" juga menunjukkan beliau tersasar jauh dalam memahami fiqh siyasah syar'iyyah.
9. Satu soalan untuk beliau, bolehkah dicadangkan DUN Perlis supaya meluluskan RUU yang menetapkan mufti Perlis mesti seorang yang tidak membid'ahkan atau melarang amalan-amalan yang tersebut di atas tadi? Jika jawabnya tidak, bukankah itu juga membelenggu pemikiran rakyat, merampas kebebasan berfikir dan akademik atas nama agama?
10. Kemaslahatan umat Islam majoriti adalah lebih utama dipelihara berbanding membuka ruang perbalahan yang tidak berkesudahan. Cukuplah Perlis sahaja mengamalkan ajaran keras membid'ahkan amalan-amalan tadi dan melarangnya sama ada secara fatwa atau secara tidak menyambung kontrak imam yang tidak selari dengan fahaman mereka.
11. Justeru, RUU Mufti Wilayah (2024) adalah satu langkah berhikmah untuk mengekalkan keharmonian umat Islam dan ia bertepatan dengan prinsip siyasah syar'iyyah bagi pemerintah. Maka wajar dan sepatutnya sekalian ahli Parlimen yang mengutamakan keharmonian rakyat menyokongnya agar diluluskan.