JANGAN SUKA HINA ORANG


Shahril. A. Kadir



"Saya tak suka perbuatan menghina orang apatah lagi orang miskin dan sikap 'membeza-bezakan' kita antara sesama manusia. Contohnya kalau buat 'open house'...yang CEO kita bagi masuk dalam rumah, yang pangkat kecil makan kat luar, saya tak suka." 


Itu antara kata-kata jutawan Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim ketika  kami menghabiskan masa bersama di pejabatnya tadi. Itulah rutin saya bila bertemu dengan pemilik Weststar, syarikat perkhidmatan helikopter luar pesisir itu.


Kami berdua jarang berbual soal bisnes, yelah, kebetulan saya pun bukannya ada bisnes dengan Weststar, supply satu skru helikopter pun takde😀


Tetapi setiap kali bersama, kami banyak berbual soal kehidupan, prinsip dan perjuangan kami. Perjuangan di bidang kami masing-masing.


Syed Azman mengakui perjalanan yang dilaluinya bukan mudah kerana terpaksa berhadapan dengan 1,001 dugaan dan cabaran, sebab itu beliau lebih suka tumpukan usaha serta kudrat untuk syarikat daripada bergelumang dengan 'publisiti dan kemahsyuran'. 


Anak kepada bekas ketua kerani ini berkata beliau bermula dari bawah dan bukannya jutawan yang muncul sekelip mata.


Untuk rekod, Syed Azman anak jati negeri jelapang padi ini bermula dengan menjual kereta terpakai selepas berhenti daripada menjadi pegawai tentera.


Beliau masih ingat bagaimana salah seorang pelanggannya pernah berkata 'ni yang malas beli kereta dekat salesman Melayu' hanya kerana agak lewat mendapat kereta  yang dipesannya.


"Ketika itu saya rasa sangat terhina kerana dia juga sebangsa dengan saya, sampai hati dia berkata sebegitu.


"Saya bukan datang dari keluarga senang atau dari keluarga terlalu susah, tetapi apapun latarbelakang kita, jangan pandang rendah pada orang lain kerana orang yang anda hina itu mungkin suatu hari nanti akan lebih berjaya diri anda sendiri," kata Syed Azman.


Nama Syed Azman mula menjadi sebutan apabila bertindak 'luar jangka' kerana mengambil keputusan masuk ke bisnes menyediakan pengangkutan membawa pekerja ke pelantar minyak, satu perniagaan yang asing bagi ahli-ahli perniagaan Melayu ketika itu.


Kini daripada hanya sebuah helikopter, Syed Azman mempunyai lebih 40 buah helikopter dan muncul syarikat penyedia perkhidmatan helikopter terbesar di Asia Tenggara!



Beliau juga berjaya mendapat kontrak penyediaan perkhidmatan yang sama di Itali, Equatorial Guinea, Congo, Namibia, Gabon, Mauritania dan terbaru di Arab Saudi sekaligus meletakkan dirinya antara bilionair Melayu terkaya ketika ini.


Namun Syed Azman tak memandang pada itu semua kerana baginya beliau hanya berusaha dan pada Allah dia berserah.


"Saya suka bekerja, duduk rumah pun buat apa, dok 'menganga' sahaja," katanya dalam pelat utara yang pekat sebelum kami sama-sama ketawa sambil hirup kopi panas cicah biskut.


Memang sempoi Tan Sri Syed Azman nih😁



No comments:

Post a Comment