KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan penyanyi lagu Rindu Bayangan, Jay Jay, 66, yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, diberi kekuatan dan cekal berdepan ujian.
Melalui ciapan di platform X, Perdana Menteri mengucapkan kata-kata semangat kepada bekas vokalis kumpulan Carefree yang popular pada era 1970-an dan 1980-an itu.
"Saya mendoakan saudara Jay Jay lekas diberi afiyah lantas dikurniakan kekuatan dan kecekalan... Insya-Allah," katanya.
Menerusi ciapan di platform X, Anwar memberitahu Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi melawat Jay Jay yang mengalami masalah jantung di IJN di sini, semalam.
Perdana Menteri menjelaskan kunjungan itu adalah untuk mendapatkan perkembangan terkini kesihatan Jay Jay, selain menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban beliau.
"Saudara Farhan meluangkan masa mendapat makluman terkini berkaitan keadaan kesihatan beliau (Jay Jay) selain turut menyampaikan sedikit sumbangan daripada pihak saya," katanya.
Pada 23 Mei lalu, Jay Jay atau nama sebenar, Mohd Fauzi Darus selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN selepas dua hari dimasukkan ke pusat perubatan itu.
Jay Jay yang popular dengan lagu seperti Joget Angan Tak Sudah dan Cukuplah Sekali dilapor mengalami serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur, bulan lalu.