KERANA SAYA ADALAH PENULIS…

 

KERANA SAYA ADALAH PENULIS…


Baru-baru ini apabila saya menulis tentang tiga perkara yang Anwar Ibrahim harus berhenti bercakap nengenainya, pelbagai reaksi pro dan kontra telah saya terima daripadanya.


Ada yang memberi reaksi melalui media sosial di mana artikel tersebut disiarkan, manakala yang lain melalui Grup Whatsapp yang telah berkongsi tulisan itu.


Tidak kurang ada yang memberi komen secara terus melalui telefon bimbit saya dengan menggunakan aplikasi Whatsapp.


Rata-rata ramai yang bersetuju dengan apa yang saya tulis itu, tetapi seperti biasa apabila saya menulis dengan agak kritikal tentang Anwar, sejumlah kecil penyokongnya agak kurang senang dengan saya.


Tidak terkecuali ada juga yang menuduh saya sebagai penulis upahan.


Bagi saya, apa yang berlaku itu adalah perkara biasa kerana dalam apa juga perkara di dunia ini, tidak mungkin semua orang setuju dengan kita.


Tetapi, dalam semua reaksi tidak setuju itu, ada beberapa pandangan itu membuatkan saya geli hati dengannya.


Misalnya ada yang mengatakan tidak wajar saya menulis tiga perkara yang Anwar harus berhenti bercakap itu secara terbuka, walaupun mereka secara umumnya bersetuju dengan apa yang saya tulis itu.


Kata mereka, tulisan saya yang secara terbuka itu terlihat tidak manis kerana ia melibatkan seorang Perdana Menteri.


Yang lain pula bertanya, kenapa saya tidak menghantar apa yang saya tulis itu secara “direct message” kepada Perdana Menteri?


Tambah mereka, jika cara itu yang dilakukan, selain lebih manis, juga menunjukkan saya lebih ikhlas terhadap Anwar.


Sebenarnya begini – saya adalah penulis dan di mana-mana juga di dunia ini, tujuan seseorang itu menulis ialah untuk tatapan pembaca membaca buah fikirannya secara bebas dan terbuka tanpa sebarang sekatan.


Kelompok pembaca itu mungkin termasuk Perdana Menteri sendiri.


Saya bukan penasihat kepada Perdana Menteri yang perlu memberikan nasihat secara tertutup kepadanya.


Kalau saya seorang penasihat, sudah tentulah nasihat itu tidak dilakukan secara terbuka.


Selagi bergelar penulis, saya kena akur dengan lumrah bahawa penulis itu menulis untuk ditatap tulisannya, tak kira oleh mereka yang suka atau benci kepadanya.


Kalau tulisan itu kebetulan berbentuk nasihat, maka nasihat akan diberikan secara terbuka.


Begitu juga jika ia berbentuk kritikan atau pujian, seorang penulis tetap melakukannya secara terbuka.


Soal ia mahu diterima atau tidak, ia terpulang kepada penilaian masing-masing.


Saya tidak mampu memaksa orang setuju atau suka dengan apa yang saya tulis.


Kalau ia baik dan apa yang saya tulis itu ada kebaikan, lalu subjek yang saya sentuh itu mengambil iktibar, sedia berubah dan menyesuaikan diri – Alhamdulillah.


Jika mereka tidak setuju dan mahu menolak hujah-hujah yang saya tulis, itu juga tidak mengapa – sebab itu adalah hak mereka.


Keikhlasan seorang penulis ialah bila mana ia kekal menulis dengan hati nuraninya dan fikiran yang kekal terbuka, bukan kerana membenarkan otaknya dipajak oleh sesiapa. – ShahbudinHusin 06Julai2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/06/06/kerana-saya-adalah-penulis.html