BIARLAH JKOM MACAM MAKAN GAJI BUTA. HADI AWANG DULU PUN MAKAN GAJI BUTA JUGAK.



 KALAULAH LOKMAN ADAM JADI KP JKOM…


Apabila dua hari lalu saya menulis mengenai Jkom yang langsung tidak berfungsi dan membayar gaji kepada Ketua Pengarahnya tak ubah macam menadah air dengan raket badminton, ada beberapa orang bertanya - siapa yang layak mengetuai agensi itu?


Sebagai syarat tak bertulis, oleh kerana PKR yang mengetuai kerajaan, maka orang yang mengetuai Jkom sebaiknya mestilah daripada PKR juga.


Ini tentunya lebih berupaya memastikan Jkom berperanan dengan lebih baik dalam mempertahankan kerajaan, terutama untuk melindungi Perdana Menteri daripada pelbagai “tembakan” musuh.


Ketika UMNO mengetuai kerajaan dulu, ketua agensi tersebut (sebelum ini dikenali sebagai Jasa), semua Ketua Pengarahnya adalah daripada UMNO.


Lantikan pertama di bawah kerajaan madani sebelum ini iaitu Dr Agus Yusof untuk mengetuai Jkom memang suatu kesilapan besar telah dilakukan oleh Anwar Ibrahim.


Tidak pasti siapa yang mencadangkan nama Dr Agus kepada Perdana Menteri, tetapi jika ia pilihan Anwar sendiri, bermakna itulah kesilapan beliau.


Sebagai bekas pensyarah, fambahan lagi tidak diketahui parti mana yang dianggotainya,  terbukti beliau tiada keupayaan untuk bertempur di gelanggang politik untuk mempertahan dan membela kerajaan dan Perdana Menteri.


Akhirnya dengan pelbagai serangan yang menimpa, Anwar dan kerajaan jadi terkapai-kapai tanpa pembelaan sehingga tercetus skandal A&W yang menyebabkan Dr Agus meletakkan jawatannya.


Selepas Dr Agus, kerajaan seterusnya melantik Khairuddin Othman, bekas Adun Pas yang berhijrah ke PKR sebagai penggantinya.


Memang Khairuddin orang PKR dan lantikannya telah memenuhi syarat tak bertulis yang sepatutnya, tetapi satu kekurangan Khairudidn ialah beliau bukan aktivis politik yang kelibatnya selalu memegang senjata di medan perang.


Jkom adalah agensi untuk berperang dan ketuanya mestilah seorang yang sedia dan tahu untuk berperang.


Khairuddin sama sekali tiada ciri-ciri tersebut dan melihat kedudukan Jkom yang seolah-olah tak wujud di sebalik Anwar dihentam kiri dan kanan ketika ini, sekali lagi perlantikan beliau juga merupakan suatu kesilapan.


Memang Khairuddin patut ditamatkan kalau kerajaan mahu melihat Jkom benar-benar berperanan.


Tetapi, apa yang malang ialah dalam senarai barisan kepimpinan PKR ketika ini, tiada aktivis politik yang sesuai untuk dilantik bagi menerajui Jkom.


Jika Johari Abdul tidak dilantik sebagai Speaker Parlimen, sebenarnya beliaulah paling layak untuk menerajui Jkom kerana mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam selok-belok peperangan lantaran pernah bersama BTN sebelum ini.


Dalam keadaan sekarang, membiarkan Khairuddin terus kekal di kerusi Ketua Pengarah Jkom, ia bermakna kerajaan terus menggunakan raket badminton sebagai cara untuk menadah air - suatu perbuatan paling membazir dalam dunia.


Habis, siapa paling layak mengetuai Jkom?


Oleh kerana dalam PKR tiada yang layak dan rakan kongsi utama kerajaan sekarang ialah UMNO, daripada membiarkan Jkom terus tidak berfungsi, adalah lebih baik diberikan jawatan Ketua Pengarah Jkom kepada pemimpin UMNO untuk menerajuinya.


Pemimpin UMNO yang paling disebut-sebut daripada segi kelayakan dan kemampuannya, bahkan ada mereka yang dekat dengan Anwar sendiri turut setuju, ia tidak lain ialah Lokman Noor Adam, Ahli MT dan Pengarah Komunikasi UMNO ketika ini.


Dalam berperanan membela Anwar, Lokman bukan saja lebih ke depan berbanding Ketua Pengarah Jkom, bahkan lebih rajin daripada Pengarah Komunikasi dan ahli MPP PKR sendiri.


Bayangkan jika Jkom berada kendaliannya?


Cuma, Lokman ada dosa besar kepada Anwar dan keluarganya ketika berlaku isu Liwat 2 sebelum ini yang mungkin masih berbekas dan sukar dilupakan sehingga sekarang.


Kalau sesiapa yang telah menonton atau tertonton video-video lama Lokman dalam kes Liwat 2, memang tidak dinafikan ada kata-katanya terhadap Anwar dan keluarganya bukan saja tepat menikam hati, malah boleh dikata tertusuk sampai ke tulang hitam.


Tapi semuanya itulah politik, segala-galanya adalah episod yang sudah berlalu dan tidak perlu diimbau lagi.


Cuma, satu pesanan buat Lokman, kalau terjumpa Anwar di mana-mana majlis selepas ini, sebutlah kata maaf berulang kali sambil cium tangannya erat-erat.


Yang selalu terlihat selama ini, beliau cuma tunduk bila bersalam dengan Anwar tapi tak pernah ternampak ada mencium tangan Perdana Menteri.


Mudah-mudahan…berkat selalu cium tangan Anwar, terlorong rezeki jawatan Ketua Pengarah Jkom buatnya. - ShahbudinHusin 13Jun2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/06/13/kalaulah-lokman-adam-jadi-kp-jkom.html



No comments:

Post a Comment