Menteri Komunikasi yang juga jurucakap
kerajaan, Fahmi Fadzil menafikan siasatan pihak polis terhadap Bloomberg adalah
atas arahan kerajaan.
Katanya, tiada sebarang arahan dikeluarkan
oleh kerajaan untuk mengambil tindakan ke atas Bloomberg.
“Pihak polis memulakan siasatan selepas ada
aduan dikemukakan oleh firma guaman yang mewakili salah satu pihak yang disebut
dalam laporan Bloomberg itu.
“Laporan polis dibuat oleh pihak Berjaya Corp
Bhd. yang didakwa dalam laporan Bloomberg kononnya terlibat dalam cubaan
membuka kasino di Forest City.
“Berdasarkan laporan media yang saya teliti,
laporan polis yang dibuat mengenai isu ini ialah daripada pihak Berjaya, bukan
laporan dari pihak kerajaan, bukan dari kementerian, dan bukan dari MCMC
(Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia),” ujarnya lagi.
Fahmi menambah, disebabkan sudah ada laporan
polis, maka pihak berkuasa mengambil langkah seperti sepatutnya iaitu
menjalankan siasatan.
“Jadi saya tegaskan, siasatan dibuat bukan
atas arahan kerajaan, tapi hasil laporan polis yang dibuat oleh firma guaman
yang mewakili syarikat yang dikaitkan dalam laporan oleh Bloomberg itu,” tambah
beliau.
Dua tiga kali saya membaca laporan berita
mengenai Fahmi ini dan saya tertanya-tanya, untuk apa Fahmi mengeluarkan
kenyataan demikian?
Rasanya semua orang tahu dan faham bahawa yang
membuat laporan polis mengenai Bloomberg itu ialah Berjaya Corp. Bhd.
Tetapi, untuk apa Fahmi bertegas mengatakan
kerajaan tidak terlibat dan tidak pernah mengeluarkan arahan untuk pihak polis
menyiasat Bloomberg?
Sepatutnya dalam isu fitnah oleh Bloomberg
itu, meskipun Berjaya lebih dulu membuat laporan polis, kerajaan harus juga
membuat laporan polis susulan untuk menunjukkan betapa seriusnya kerajaan
menolak fitnah yang agensi berita itu lakukan.
Setidak-tidaknya, jika itu dilakukan, kerajaan
boleh dengan bangga mengatakan mereka juga telah membuat laporan polis dan mahu
fitnah tersebut diambil tindakan yang sewajarnya.
Ini tidak, sudahlah pihak kerajaan tidak membuat
laporan polis bila difitnah oleh Bloomberg, kemudian bersungguh-sungguh pula
menafikan kerajaan tidak terlibat dan tidak pernah mengeluarkan arahan bila
agensi berita itu sudah disiasat atas laporan polis yang dibuat oleh Berjaya
Corp. Bhd.?
Kerajaan seujurnya patut malu kerana dengan
penegasan tidak terlibat dalam siasatan polis terhadap Bloomberg sebagaimana
ditegaskan Fahmi itu, ia dengan sendirinya menunjukkan kerajaan tidak berbuat
apa-apa terhadap fitnah dilakukan agensi berita itu.
Saya masih mencari jawapan, apakah tujuan
penafian Fahmi itu dan ia untuk jaga hati siapa? – ShahbudinHusin
08Mei2024.