UMNO
Cawangan SS9A, Damansara mengusulkan satu pertukaran atau rombakan bagi jawatan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang disandang Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ketuanya,
Amin Shukor berkata, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) dilihat tidak fokus kepada tugas
Ketua Penerangan parti yang seharusnya perlu bersikap lebih proaktif.
Menurutnya, pihaknya beranggapan akar umbi UMNO memerlukan perlaksanaan
strategi, gerak kerja dan hala tuju drastik yang lebih jelas agar setiap
tindakan tidak tersasar.
“Disebabkan
itu, kita memerlukan seorang individu atau figura yang mungkin boleh lebih
fokus untuk bertindak sebagai Ketua Penerangan dan mempunyai masa untuk
merencana usaha-usaha serta tindakan yang sifatnya tidak bermusim.
“Satu pelan naratif masa depan UMNO yang lebih praktikal perlu segera
digerakkan oleh Ketua Penerangan serta segala usaha perlu digembleng kepada
usaha yang bersangkutan portfolio penerangan,” katanya menerusi usul berkait
perkembangan mutakhir akar umbi UMNO.
Ia
susulan akar umbi dikatakan kurang pendedahan serta kurang penerangan secara
dalaman khususnya dari unit atau pasukan terbabit.
Justeru Amin berkata, UMNO Cawangan SS9A, Damansara mengusulkan Datuk Seri
Reezal Merican Naina Merican untuk menggalas tugas Ketua Penerangan baharu dan
berharap usul itu dipertimbangkan kepimpinan tertinggi UMNO.
“Melalui
kemahiran, pengetahuan serta pengalaman dimiliki beliau, ia dilihat satu
kelebihan yang boleh diguna pakai untuk kebaikan UMNO.
“Selain itu, UMNO Cawangan SS9A juga beranggapan beliau mempunyai masa untuk
lebih fokus merencana, bergerak dan bertindak sebagai Ketua Penerangan yang
baru,” katanya.
Katanya,
cadangan diusulkan itu selepas melalui pertimbangan rasional demi kebaikan UMNO
dalam mendepani situasi semasa politik tanah air.
Sumber – https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/665630