Memulakan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024 dengan memetik tokoh ekonomi Sweden Gunnar Myrdal yang pada tahun sekitar tahun 60an menulis sebuah buku yang mengkaji tahap pembangunan dan kemiskinan negara-negara di rantau Asia. Karyanya itu ternyata menggemparkan dan menimbulkan sedikit pertentangan terutama di kalangan elit penguasa di rantau Asia.
Gunnar menulis betapa masalah kebejatan dan kecurangan di kalangan pimpinan akhirnya akan memberikan kesan yang besar kepada aspek pembangunan negara tatkala ia menghambat kemajuan selain memiskinkan rakyat dan negara.
Menghimbau sejarah negara, mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak merumuskan tiga masalah besar negara saat itu yakni, ‘communism’, ‘communalism’ (sikap dan perlawanan kerana kaum) dan ‘corruption’. Lantaran ia mesti mengingatkan kepada penguasa terutama kepada kelompok yang baru menjabat kuasa agar tidak lupa kepada perjuangan terdahulu dan jangan mula bergelumang dengan masalah rasuah.
Justeru, menyentuh soal NACS, seberapa banyak rencana mahupun strategi yang diusulkan hanya sia-sia rasuah terus membengkak, dan sekiranya kita tidak ada strategi legislatif yang kuat selain tekad politik (‘political conviction’) yang jelas yang tidak berkompromi kepada rasuah. Jadi kita memerlukan kekuatan semua dengan keluarga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebagai tonggak. Harus saya nyatakan juga di sini bahawa saya punya keyakinan kepada pasukan Tan Sri Azam Baki untuk kekal di landasan ini untuk terus secara agresif membanteras rasuah.
Negara tidak boleh diselamatkan dan nasib rakyat tidak mampu kita bela sekiranya hak untuk memunggah kekayaan dibiarkan merebak dan menular. Keikhlasan dan sikap teguh memegang amanah mesti memandu tekad kita dalam meletakkan negara di landasan dan jalur perubahan.
#MalaysiaMADANI