MAHIADDIN, HADI BERI LALUAN SELESA ANWAR KEKAL PM BAGI PENGGAL KEDUA?

 

Bersatu akan mengadakan pemilihan partinya dalam tempoh satu dua bulan akan datang, manakala pemilihan Pas yang seterusnya ialah pada tahun depan.

Berikutan kegagalan PN merampas kerusi Dun Kuala Kubu Bharu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim menyarankan agar Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin dan Presiden Pas, Hadi Awang, segera mengundurkan diri.


Menurut Zaid, berdasarkan keputusan PRK itu, PN perlu menampilkan pemimpin baharu yang boleh memberi harapan untuk PN berlawan dengan Anwar Ibrahim pada PRU16 akan datang.

“PAS dan Bersatu kini mesti mula menukar pemimpin mereka. Bawalah barisan pemimpin politik sebenar yang boleh memberi persaingan kepada Anwar


“Jika tidak, Anwar akan menjadi Perdana Menteri untuk masa yang lebih lama,” katanya.

Dalam konteks Mahiaddin yang dikatakan masih mahu ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri, Zaid menambah, Pengerusi PN itu tidak henti-henti bercakap mengenai pencapaian masa lalunya sebagai pemimpin negara.

“Tetapi, itu zaman yang sudah berlalu. Apa yang dia tawarkan untuk masa depan?


“Tiada apa, maka tiba masanya untuk beliau berundur,” tambah Zaid lagi.


Apa yang dilontarkan Zaid ini memang banyak kebenarannya, bahkan berkenaan Mahiaddin sebagai calon Perdana Menteri, saya sudah menulis dua hari lalu bahawa tiada harapan untuk PN menang pada PRU16 akan datang jika beliau masih diletakkan sebagai pertaruhan untuk berlawan dengan Anwar yang kini menerajui kerajaan perpaduan.

PN perlukan pemimpin baru yang segar, bukan yang semakin tua serta terpalit pula dengan kegagalan masa lalu.

Pemilihan pucuk pimpinan Bersatu dalam waktu terdekat ini dan pemilihan Pas pada tahun depan adalah waktu terbaik untuk kedua-dua parti melakukan perubahan.

Jangan takut untuk berubah jika inginkan kemenangan, tambahan lagi selain kedua-duanya iaitu Presiden Bersatu dan Pas itu semakin berusia, salah seorangnya sudah pun pernah merasai duduk sebagai Perdana Menteri, manakala seorang lagi agak uzur dan lebih kerap berulang alik ke hospital.

Hakikatnya, mereka berdua tidak perlu lagi mengejar apa-apa jawatan di dunia ini.

Peranan mereka kini sepatutnya memastikan PN kekal relevan dengan menyediakan barisan kepimpinan baharu yang lebih diyakini.

Tanpa kedua-duanya sedia berundur untuk memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda, kekalnya lagi Mahiaddin dan Hadi tidak ubah seperti PN menghadiahkan tropi kemenangan lebih awal kepada Anwar untuk selesa sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua – tiga tahun sebelum tibanya tarikh PRU16. – ShahbudinHusin 13Mei2024.