FUNGSI KEMENTERIAN EKONOMI

 




Pada awal penubuhan Kementerian Ekonomi lebih setahun lalu, salah satu cabaran utama kami ketika itu ialah memahamkan rakyat dan pemegang taruh mengenai fungsi dan peranan Kementerian Ekonomi.


Sejak merdeka, Kementerian Ekonomi hanya wujud baru dua kali - semasa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ditubuhkan (2018-2020) dan kini (2022 -).


Di semua masa yang lain, fungsi perancangan jangka panjang pembangunan, ekonomi dan sosio-ekonomi diletakkan di bawah Perdana Menteri, melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU).


Selain membuat perancangan jangka panjang, EPU juga bertanggungjawab menguruskan Belanja Pembangunan, iaitu merancang, menilai dan meluluskan projek-projek pembangunan (fizikal dan bukan fizikal).


EPU kini menjadi tulang belakang Kementerian Ekonomi, bersama-sama beberapa agensi utama lain seperti Jabatan Statistik, pihak-pihak berkuasa koridor ekonomi (IRDA, ECER, NCIA, SEDIA dan RECODA), agensi mandat Bumiputra (Teraju, Yayasan Peneraju dan Ekuinas), agensi galakan sektor minyak dan gas (MPRC) dan kawal selia ke atas perbadanan-perbadanan ekonomi negeri (PKEN).


Oleh itu, peranan Kementerian Ekonomi mencakupi semua bidang yang diterajui oleh kementerian-kementerian lain kerana hala tuju dasar dipandu oleh dasar-dasar yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi.


Pada awalnya, ada yang terkeliru apabila Kementerian Ekonomi membangunkan projek-projek pertanian moden melalui IPR kerana itu dilihat fungsi Kementerian Pertanian.


Begitu juga apabila Kementerian Ekonomi membangunkan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) kerana itu dilihat fungsi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).


Bila Kementerian Ekonomi membangunkan Pelan Tindakan KL20 untuk sektor digital dan teknologi, ada yang mempersoalkannya kerana ia dilihat mengacau fungsi kementerian-kementerian lain.


Namun alhamdulillah, selepas lebih setahun, fungsi Kementerian Ekonomi lebih difahami oleh rakyat.


Fungsi kami ialah membangunkan dasar dan rancangan yang merentas kementerian dan bidang untuk membina ekonomi negara yang mampan dan adil.


Sebab itu, semua tumpuan Kementerian Ekonomi adalah bersifat jangka panjang dan berbentuk reformasi struktur.


Contoh yang paling jelas ialah mengenai peralihan tenaga.


Peralihan tenaga adalah reformasi ekonomi yang sangat penting. Sebab itu ia adalah reformasi struktur ekonomi yang paling awal dilancarkan Kementerian Ekonomi dalam tempoh 6 bulan pentadbiran Madani.


Kenapa ia sangat penting dan mengatasi reformasi struktur yang lain?


Saya akan terangkan dalam catatan saya yang seterusnya selepas ini.


Saya akan berterus terang mengenai kedudukan tenaga dan sumber tenaga di negara ini.