KAK GEE KEMBALI TERAJUI KEADILAN PAHANG
Timbalan Menteri KPDN, YB Puan Hajjah Fuziah Salleh kini kembali terajui kepimpinan MPN Pahang dan beliau akan dibantu oleh Timbalannya, Sdr Rizal Jamin iaitu Ketua Cabang K.Lipis yang kekal memegang jawatan tersebut dalam pengumuman yang dikeluarkan oleh Keadilan pusat semalam.
Semalam, Keadilan telah mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diPengerusikan oleh Presiden Keadilan, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim. Di dalam mesyuarat tersebut, turut diumumkan adalah pengerusi-pengerusi MPN yang baru bagi beberapa negeri lain.
Kembalinya YB (Senator) Fuziah atau lebih dikenali sebagai Kak Gee bukanlah satu berita yang mengejutkan. Sebelum ini saya telah menulis bahawa terdapat kemungkinan beliau akan kembali menerajui MPN Pahang berdasarkan pengalaman beliau yang luas. Namun ketika itu saya lebih yakin bahawa Sdr Rizal Jamin, Ketua Cabang K.Lipis akan diberi peluang sebagai pengerusi yang baru memandangkan beliau adalah Timbalan Pengerusi sebelum ini sewaktu di bawah kepimpinan YAB Dato Seri Amiruddin Shari, MB Selangor sebelum PRU15 yang lalu.
Kemunculan semula Kak Gee di dalam MPN Pahang rata-ratanya disambut baik oleh semua kepimpinan Cabang di seluruh negeri ini. Saya yakin, Keadilan Pahang akan lebih bertenaga, aktif dan efisyen lagi dengan kembalinya Kak Gee ditampuk kepimpinan apatah lagi diperkuatkan oleh pemimpin muda Sdr Rizal Jamin selaku timbalannya.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Kak Gee dan Sdr Rizal di atas perlantikan tersebut. Keadilan Pahang mempunyai tugas yang amat berat dan besar selepas ini kerana kita perlu bersedia bagi menghadapi PRU16 sekitar tiga ke empat tahun lagi. Tugas utama kita selain dari memperkuatkan kerajaan perpaduan yang terbentuk di negeri ini, Keadilan juga mesti bersedia untuk merampas kembali dua kerusi Parlimen kita yang hilang pada PRU15. Keadilan juga mesti mempamerkan keikhlasan, kesungguhan dan komitmen yang tinggi di dalam mengeratkan lagi kerjasama dengan rakan-rakan parti yang lain di dalam Kerajaan Perpaduan.
InsyaAllah, berkat kesungguhan semua kepimpinan di dalam MPN, peringkat Cabang dan akar umbi, Kerajaan Perpaduan di negeri Pahang akan terus kekal dan bertambah kuat lagi selepas PRU16 nanti, InsyaAllah.
Selamat berjuang
WFAUZDIN NS