11 JAM LALU DI PERLIS ATAS JEMPUTAN MUFTI PERLIS BERKAITAN PERBEZAAN PANDANGAN DALAM AGAMA.

 


Tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, petang tadi dan langsung ke Masjid Alwi di Kangar, Perlis untuk menghadiri  Program Perkampungan Sunnah - Jihad Memartabatkan Dakwah, Mempertahankan Ummah.


Turut bersama Menteri Komunikasi, Menteri Besar Perlis dan Mufti Perlis.


Ucaptama saya mengupas konsep jihad membawa perubahan. Saya mulakan dengan menyingkap jihad warga Palestin yang dizalimi rejim Zionis Israel secara berterusan dengan dukungan negara-negara Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS).


Lebih mengecewakan adalah kelesuan suara pimpinan negara Islam yang hilang upaya dan kekuatan untuk menyatakan sikap keras dan tegas bagi menuntut kezaliman ini dihentikan.


Saya kemudian tegaskan betapa umat keseluruhannya sama ada pimpinan politik, ulamak, sarjana, petani, nelayan mahupun pekerja perlu bangkit daripada kealpaan, kecuaian dan kelemahan jika mahu melihat perubahan yang sebenar.

 

Menelusuri sejarah khalifah dan pejuang lampau, saya percaya perubahan dan reformasi yang kukuh dan berkekalan hanya boleh dicapai sekiranya kita bermula dengan membina kekuatan dalaman dengan memperbaiki tatakelola dan menangani rasuah yang sistemik dalam negara.


Ramai yang hanya bicara soal warak dan zuhudnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila menelaah kepemimpinannya. Namun Umar Abdul Aziz juga adalah teladan yang baik dalam aspek kenegaraan, di mana beliau menekankan soal tatakelola dengan membenci dan menolak rasuah.


Begitu juga kisah keagungan Salahuddin Al-Ayyubi yang banyak tertumpu pada kejayaannya dalam perang menawan Baitulmuqaddis, namun ditinggalkan kehebatannya mengatur tatakelola, mengimarahkan masjid sebagai tempat menyuburkan wacana serta amanah dan tidak merompak harta rakyat.


Saya sambut baik pendekatan Jabatan Mufti Negeri Perlis yang menjemput saya hari ini bagi meraikan perbezaan pandangan menerusi wacana yang bebas dan segar. 










Dunia Islam suatu ketika dulu menjadi agung kerana wacana yang meluas di mana Khalifah mendengar pandangan yang berbeza, di samping membenarkan perbahasan sihat oleh ulamak.


Kita perlu mencontohi semangat yang sama dengan menggalakkan pencerahan, bukan membiarkan rakyat celaru dan bergaduh. Rakyat perlu dibiasakan dengan kefahaman supaya tidak pantas menghukum akibat didorong kedangkalan ilmu.


Hanya budaya ilmu yang subur mampu memastikan kita dapat menguasai pengetahuan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, sekali gus memastikan negara ini berjaya dalam jihad berdepan tantangan mendatang.


#MalaysiaMADANI