“Kepada YB menteri Nga Kor Ming yang kurang bijaksana, ekonomi negara jadi teruk sebab ada menteri yang mcm kamu!!! Bodoh!!,” tulis Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh di laman Facebooknya.
Semalam, Nga membuat hantaran di X mengatakan bahawa pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jangan sekali masuk dalam perangkap penghasut, negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara,” kata Nga lagi.
Beliau turut memuat naik tangkapan skrin daripada laporan media Cina dalam ciapan tersebut.
Permusuhan antara pemimpin parti adalah perkara biasa, malah berbalah sesama sendiri di dalam parti yang sama juga bukanlah perkara luar biasa.
Juga bukan tak biasa pemimpin parti yang bersama dalam membentuk kerajaan saling berbeza pendapat sesama sendiri.
Sudah banyak contoh dan ia telah kerap telah berlaku sebelum ini.
Tetapi berbalah dan berbeza pendapat antara pemimpin sehingga memanggil “bodoh” boleh dikata hampir tidak pernah berlaku.
Kebanyakan pemimpin selalunya mengelak untuk mengguna perkataan “bodoh” kerana dianggap perkataan yang kurang sopan serta kasar.
Biasanya orang menggantikan perkataan “bodoh” itu dengan perkataan kurang cerdik untuk kelihatan lebih sopan dan tidak menyinggung perasaan lawan yang berbeza pendapat itu.
Tetapi, Dr Akmal nampaknya selamba saja menggelar Nga sebagai “bodoh”, walhal selain merupakan menteri dan pemimpin kanan DAP, parti tersebut juga merupakan rakan kepada UMNO dalam membentuk kerajaan madani.
Dr Akmal juga terlihat tiada apa-apa yang berubah dalam dirinya, meskipun setelah dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Ini adalah pertama kali UMNO dan DAP saling bekerjasama, tetapi DAP sudah pernah bekerjasama dengan pelbagai parti seperti Bersatu, Pas dan lain-lainnya.
Meskipun ketika wujud kerjasama antara Bersatu dan Pas dengan DAP itu kerap juga berlaku perbalahan sesama sendiri, namun tidak pernah sampai terkeluar perkataan “bodoh” oleh mana-mana pemimpinnya.
Sebaliknya dengan DAP, sementara UMNO telah berpuluh tahun berbalah dengan parti itu, apabila sudah berkawan pula, hanya setelah 15 bulan tempoh yang dilalui, nampaknya kecenderungan untuk bergaduh itu lebih tinggi daripada keinginan untuk memperkukuh lagi persahabatan yang mula terjalin.
Berapa lamakah persahabatan yang terjalin antara UMNO dan DAP sekarang mampu dipertahankan?
Apakah semua ini petunjuk UMNO dan DAP bakal berpisah semula? – ShahbudinHusin 12/04/2024.
https://shahbudindotcom.net/category/politik-semasa