Pagi ini saya turun ke Majlis Pelancaran Semarak Syawal Agro MADANI Peringkat Kebangsaan 2024 di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.
Sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut oleh umat Islam di Malaysia minggu hadapan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui FAMA menganjurkan Jualan Semarak Syawal Agro MADANI di 753 lokasi di seluruh negara bermula hari ini.
Inisiatif dari KPKM ini adalah bagi membolehkan pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan potongan harga hingga 30%. Program Jualan Semarak Syawal Agro MADANI ini juga adalah langkah KPKM merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan agensi berkaitan turun padang, membantu meringankan beban pengguna menjelang musim perayaan bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga yang rendah.
Alhamdulillah saya berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan oleh FAMA, LPP, LKIM dan agensi-agensi lain di bawah KPKM yang sentiasa komited menjayakan setiap tugasan yang diberikan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan.
Saya juga berharap setiap penyelaras DUN memainkan tanggungjawab masing-masing melaporkan kepada pihak kementerian sekiranya berlaku gangguan bekalan makanan di lokasi mereka. Insya Allah saya akan mengarahkan agensi yang terbabit untuk segera menghulurkan bantuan.