Menjawab andaian jahat Mufti Perlis


Abu Mishkat






1. Dalam penghantaran awal responnya kepada isu larangan Menteri Pendidikan memanggil orang bukan Islam sebagai ‘kafir’, Mufti Perlis telah membuat beberapa persoalan: 


- “apakah ini bererti dia telah mengharamkan al-Quran dan al-Sunnah dalam rumahnya?”

- “apakah dia menapis ayat-ayat yang sesuai dengan hawa dirinya sahaja dalam rumahnya?”

- “Atau, dia sudah tidak percaya al-Quran dan al-Sunnah berfungsi dalam kehidupannya?”

- “Atau dia ingin mengubah ayat-ayat ALLAH dan hadis-hadis Nabi s.a.w. dengan edisi baru bikinannya?”


2. Selepas dilontarkan persoalan-persoalan dengan andaian jahat itu, Mufti Perlis membuat kesimpulan: “Apapun, itu semua merupakan *[gambaran akidah yang parah]* yang sedang membarah dalam masyarakat kita. Semoga Allah memelihara diri dan generasi kita daripada keingkaran terhadap kitabnya dan sunnah Rasulnya”


3. Dengan kesimpulan Mufti Perlis itu, dia sebenarnya telah menuduh Menteri Pendidikan mempunyai akidah yang parah. Akidah yang parah ialah akidah yang rosak. Bagi orang awam, bila mufti menghukum akidah seseorang muslim itu rosak, mereka boleh pergi sampai memurtadkan  atau mengkafirkan Menteri. 


4. Ini bukan kali pertama Mufti Perlis bermudahan mempertikaikan iman seorang Islam. Dalam grup Whatssap kendaliannya beberapa tahun dahulu beliau pernah menyamakan akidah seorang pegawai khas Menteri Agama ketika itu dengan akidah LKS (Lim Kit Siang) hanya kerana pegawai khas itu tidak bersetuju dengan pendirian kerasnya dalam isu sekatan terhadap Dr. Zakir Naik daripada memberi ceramah bebas. Tiada pegawai khas lain dalam grup itu ketika itu selain saya sendiri. Bantahan saya terhadap sikap takfirinya berakhir dengan beliau sendiri mengenyah buang saya daripada grup itu. Alhamdulillah saya dijauhkan daripadanya.


5. Bila mufti mula mempertikaikan akidah orang Islam, orang awam pula bermudah mengkafirkan. Ia sudah pun berlaku. Seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah hospital kerajaan telah membuat komen di satu wall Facebook kenalannya: “Macam Si Kapir Sorang Nie Ke? (dengan emoji ketawa)”, dengan gambar Menteri Pendidikan di bawah komennya. Setelah ditegur, baharulah beliau meminta maaf dan mengharapkan tindakan tidak dikenakan ke atasnya. Begitu mudah dosa besar dilupuskan seperti menghalau seekor lalat yang hinggap di hidungnya.


6. Bahkan seorang yang memakai nama dan gambar profil Ustaz Azhar Idrus (seorang yang digelar sebahagian pengikutnya sebagai ulama sejuta ummah) membuat satu komen di wall Facebook kenalannya juga: “Kafir bekap (back up) kafir” di bawah penghantaran poster Menteri Pendidikan mengharamkan perkataan kafir di rumahnya. Sehingga saat ini saya belum melihat penafian daripada Ustaz Azhar Idrus sendiri. 


7. Sekarang kita boleh nampak kesan segera perbuatan bermudah-mudah mempertikaikan akidah dan iman seorang muslim seperti mana yang dilakukan oleh Mufti Perlis. Ia membawa kepada amalan takfiri yang sangat dicegah oleh Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. Ia adalah kemungkaran yang sangat besar dan tercela.


8. Mufti Perlis dan Ustaz Azhar Idrus adalah dua sosok yang boleh dikatakan bermusuh dari sekolah pemikiran yang berbeza. Tetapi kedua-duanya bersatu di atas sikap bermudah-mudah (tasahul) dalam mempertikaikan akidah dan iman orang Islam.


9. Nampaknya Mufti Perlis telah membuat penghantaran baru yang lebih panjang untuk menjustifikasikan penghantaran awalnya adalah benar dan bertepatan prinsip al-Amru bin Ma’ruf wa al-Nahyu ‘an al-Munkar (Menyeru Makruf dan Mencegah Mungkar). Kita akan membuat ulasan ke atas poin-poin hujahnya selepas ini, in sha Allah.