Setiap kali musim perayaan tiba, terutama perayaan besar seperti Hari Raya Aidil Fitri, pasti banyak berlaku kemalangan jalan raya.
Sejak beberapa hari lalu lagi, sudah banyak dilaporkan kemalangan jalan raya yang berlaku di sana sini, termasuk juga yang melibatkan kematian.
Di media sosial, oleh kerana banyak kenderaan sekarang sudah ada kamera di depan dan belakang, turut dipaparkan beberapa video insiden kemalangan yang kadang-kadang membuatkan kita geleng kepala.
Kenapakah ini berlaku?
Apakah ia disebabkan jumlah kenderaan yang banyak berada di atas jalan raya?
Atau sikap pemandu yang gopoh dan gemar memandu laju sebagai puncanya?
Meskipun berlakunya kemalangan itu berpunca daripada sebab yang berangkali atau saling kait-mengait antara jumlah kenderaan yang meningkat, pemandu gopoh, memandu laju dan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik, tetapi boleh dikatakan sebab utamanya ialah sikap pemandu itu sendiri.
Semua orang tentu pernah menyaksikan sendiri bagaimana sikap sesetengah pemandu bila memandu ketika musim perayaan.
Kalau di hari-hari biasa atau hujung minggu ketika kita balik kampung misalnya, biasanya kita akan dapati hampir semua pemandu memandu kenderaan masing-masing dengan teratur dan tidak berlumba-lumba.
Tetapi, amat pelik sekali bila tiba saja musim perayaan, didapati ramai pemandu yang suka memandu laju dan dengan cara yang merbahaya berbanding biasa seolah-oleh sedang dikejar hantu.
Apa yang mahu dikejar?
Nak cepat sangat sampai ke kampung buat apa, bukannya kampung halaman boleh hilang pun kalau lambat tiba?
Sehingga sekarang, saya masih tidak faham dengan sikap pemandu yang suka memandu laju dan tergopoh-gapah itu.
Sepatutnya bila tiba musim perayaan dengan jumlah kenderaan turut meningkat, semua orang lebih berhemah dan berhati-hati dalam pemanduan mereka.
Lagi pelik kerana kebanyakan yang memandu laju itu biasanya membawa sama keluarga dan anak kecil dalam kenderaan mereka.
Apakah mereka tidak sayangkan keluarga sendiri?
Walaupun sukar mengubah sikap semula, namun marilah kita mulakannya dengan diri kita sendiri.
Hari Raya ini ketika pulang, kita memandulah dengan berhemah, tidak laju, tidak gopoh untuk cepat sampai, selain memastikan kenderaan diselenggara terlebih dahulu sebelum memulakan pemanduan jarak jauh.
Kampung halaman dan keluarga yang ada di kampung tidak ke mana-mana kalau pun kalau kita lambat tiba empat lima jam berbanding biasa.
Keluarga yang menanti kita di kampung untuk memeriahkan sambutan Hari Raya juga tentunya mahukan kita yang masih bernyawa apabila kita tiba di kampung untuk bersama-sama memeriahkan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa, bukan jasad kaku yang sudah berbalut kain putih.
Jika itu yang berlaku, kemeriahan Hari Raya akan bertukar menjadi hari duka dengan dipenuhi tangisan air mata sepanjang masa.
Akhirnya, tidak bermakna lagi Hari Raya yang ingin diraikan itu.
Kepada semua – berhati-hatilah sepanjang masa di jalan raya dan Selamat Hari Raya. – ShahbudinHusin 09/04/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/04/09/kenapa-setiap-kali-musim-perayaan-banyak-berlaku-kemalangan.html