Penurunan harga Beras Putih Import (BPI) yang berkuatkuasa semalam nyata memberi khabar gembira sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Timbalan Pengerusi KEADILAN Kedah, Datuk Ir Zamri Yusof berkata, langkah itu sememangnya membantu rakyat Malaysia mengurangkan perbelanjaan mereka terutama pada bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri akan datang.
“Saya mengalu-alukan pengumuman penurunan harga Beras Putih Import sebanyak RM2-3 kerana penurunan ini sesuai dengan strategi Kerajaan Madani mengawal kos sara hidup rakyat.
“Walaupun secara nilai ringgit tidak signifikan ke atas belanja bulanan, namun ianya memberikan impak psikologi bahawa Kerajaan komited untuk ringankan kos sara hidup,” katanya kepada Suara Keadilan.
Jelas mantan ADUN Suka Menanti itu, pelaksanaan peraturan baharu tersebut wajar disekalikan dengan tindakan tegas penguatkuasaan bagi memastikan matlamat kerajaan menurunkan harga makanan ruji rakyat itu tercapai.
Penguatkuasaan, kata beliau, bukan sekadar memastikan penjual mematuhi harga yang telah ditetapkan tetapi juga bagi memastikan beras import yang dijual di Malaysia hanya untuk jualan dalam negara.
“Elemen penguatkuasaan sangat penting dalam memastikan bukan sahaja beras putih mencukupi di pasaran tempatan, bahkan penurunan harga baharu itu dilaksanakan secara menyeluruh oleh pembekal,” ujarnya.
Terdahulu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga BPI diturunkan kepada RM35 daripada harga harga semasa RM38 hingga RM45 bagi setiap kampit 10 kilogram (kg) beras.
Katanya, pelarasan harga di bawah seliaan Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL) akan terus dipergiat melalui pelan tindakan jangka panjang struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.
Kejayaan menurunkan harga beras itu difahamkan pertama kali dalam sejarah sekali gus menutup segala cakap-cakap pihak pembangkang yang sering mempertikai usaha kerajaan menanggani kos sara hidup rakyat.