DAP nampaknya tidak terkesan dan tidak peduli
dengan keputusan MCA enggan membantu mereka dalam PRK Kuala Kubu Bharu ini.
Malah, DAP juga tidak berhasrat untuk memujuk
MCA.
Ini kerana kerana bagi DAP, yang penting ialah
memujuk pengundi, bukan memujuk parti.
Berikut penegasan DAP mengenai keputusan MCA
untuk terus memboikot PRK Kuala Kubu Bharu:-
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook
menegaskan keutamaan yang harus diberikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu adalah memujuk pengundi, bukan
mana-mana parti untuk menyokong mereka.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata,
pihaknya juga menghargai mana-mana parti atau individu yang menyokong calon
Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.
“Pilihan raya bukan soal parti sebaliknya
tumpuan kepada rakyat. Jadi, pada saya paling penting pujuk pengundi, bukan
mana-mana parti.
“Yang datang membantu kita amat hargai. Yang
tidak membantu kita tak paksa. Kalau tak sanggup membantu itu hak dia.
“Saya tak perlu gaduh dengan mereka. Paling
utama adalah soal pengundi sebab mereka yang akan membuat keputusan dan memilih
wakil rakyat mereka, bukannya soal parti,” katanya ketika ditemui pemberita
selepas penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu
Selangor di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama
ada DAP sedia memujuk MCA turun membantu calon Kerajaan Perpaduan susulan
tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu memboikot kempen kali ini.
Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA sebelum
ini dilapor memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK
DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.
Sementara itu, Anthony Loke memuji komitmen
diberikan BN dalam pilihan raya kali ini.
Saya nampak komitmen sangat tinggi daripada
BN, terutama Presiden UMNO sendiri
“Wanita UMNO juga sudah digerakkan bersama,
selain jentera PH, kita yakin dapat jalankan kempen dengan baik,” katanya.