Banyak persoalan bermain di minda mengenai 'tahanan di rumah'.


Zainuddin Omar




• bolehkah banduan terima pelawat di rumah?

• ada pegawai penjara yang jaga rumah?

• banduan boleh fly malam panjat pagar pergi kedai mamak pekena teh tarik?


***************

Seorang 'saksi kritikal' bersedia untuk memfailkan afidavit untuk menyokong semakan kehakiman Najib Razak bagi mencabar kewujudan titah adendum (tambahan) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas perdana menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.


Peguam utamanya, Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan perkara berkenaan ketika ditemui media selepas pengurusan kes dalam kamar berhubung perkara itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.


Bagaimanapun, peguam itu tidak mendedahkan siapa 'saksi kritikal' tersebut.


Difahamkan, semasa urusan kamar, Shafee memaklumkan kepada Hakim Amarjeet Singh mengenai dakwaan 'saksi kritikal' itu.


Amarjeet telah menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan Najib bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap pelaksanaan perintah tambahan yang didakwa oleh Yang di-Pertuan Agong dikaitkan dengan pengampunan separa yang mengurangkan separuh hukuman penjara bekas perdana menteri itu kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Pada 1 April, Najib, ketika masih menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung sabitan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.


Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April lalu, Najib Razak mendakwa bahagian tambahan (adendum) dalam pengampunan diraja membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.


Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan dakwaan itu.


Menurut salinan permohonan semakan kehakiman itu, Najib mendakwa bahagian tambahan itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lalu.


Najib turut memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan perkara itu, tetapi "dengan serta-merta mengeluarkan pemohon daripada penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan meneruskan hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah".


Dia turut memohon perintah mandamus agar responden memberikan versi asal adendum diraja tersebut, kos dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.


Dalam afidavit sokongannya pula, Najib mendakwa haknya terjejas dan dilanggar oleh responden dengan mengabaikan pertanyaannya berkenaan dakwaan bahagian tambahan tersebut.


Dakwanya, tindakan responden mengabaikan permintaannya merupakan pelanggaran terhadap hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan, selain bersamaan dengan penghinaan kepada Agong.


Dia turut mendakwa responden cuba menyembunyikan kewujudan bahagian tambahan itu.


Pada 4 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata bekas perdana menteri yang kini menjalani hukuman penjara itu tiada dalam senarai banduan yang akan menjalani hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.


Menteri itu memberitahu Malaysiakini bahawa program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) hanya menyenaraikan tahanan yang menjalani hukuman penjara kurang dari empat tahun, warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU).


"Najib tak masuk senarai itu.

"KDN nak buat untuk yang penjara empat tahun dan warga emas, ibu mengandung dan OKU," kata Saifuddin.


Sebelum itu, Harian Metro melaporkan KDN bersetuju secara prinsip untuk inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan di penjara, bukan untuk disalahgunakan oleh pemimpin yang disabitkan kesalahan.


Saifuddin juga menolak dakwaan dasar tahanan rumah bertujuan untuk membolehkan Najib menjalani baki tempoh hukuman penjara dengan selesa, menyifatkannya sebagai berniat jahat.