Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA:
Adakah ketagihan dalam media sosial di negara ini membuatkan ramai yang suka
'memburu' berita-berita fitnah dan kemudian berlumba-lumba menularkan tanpa
memperduli bahana yang boleh merosakkan kesejahteraan bermasyarakat?
Adakah 'penagih-penagih' fitnah
ini mindanya telah kosong, hatinya juga sudah dingin, kering dan hitam?
Ada juga yang bagai hilang
kewarasan sewaktu beraksi di media sosial contohnya berTikTok dengan bahan
toksid untuk sajian masyarakatnya sendiri.
Inilah antara persoalan yang
kerap berlegar di fikiran saya sewaktu terlihat lintasan berita-berita palsu
dan fitnah yang kian bertebaran di media sosial kebelakangan ini.
PMX mangsa fitnah
Paling dahsyat mangsa-mangsa
fitnah bukan sahaja PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi juga menteri-menteri
dalam Kerajaan Madani yang sedang gigih bekerja membina negara serta
mensejahterakan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Paling bahaya mereka yang turut
terlibat menular atau memanjangkan fitnah-fitnah itu juga terdiri daripada
pemimpin, golongan agama, berkedudukan dalam masyarakat serta bijak pandai dan
pakar dalam bidang masing-masing.
Adakah juga mereka dilanda
sindrom ketagihan untuk memfitnah sehingga menyebabkan minda mereka tertutup.
Mereka menjadi terlalu angkuh
dan ego sehingga tidak mahu menyelidiki terlebih dahulu bahan-bahan yang mahu
ditularkan.
Apakah golongan ini juga
mempunyai minda yang kosong dan hati yang kering serta hitam?
Sadisnya lagi, semakin Ramadan
2024 beransur-ansur akan meninggalkan kita, semakin rancak pula fitnah-fitnah
yang disebarkan dengan niat untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin yang dikaitkan
itu.
Adakah golongan penagih fitnah
ini tidak akan menyemak fakta yang sahih atau tabayyun kerana niat mereka
adalah untuk mengelirukan masyarakat dan menjatuhkan pemimpin, seterusnya
menanam benih-benih kebencian kepada kerajaan?
Di penghujung Ramadan ini, saya
ingin mengulangi pesanan kepada penagih-penagih fitnah - berhentilah menjadi
penagih fitnah, janganlah mencemarkan bulan yang mulia dengan api-api fitnah
yang boleh membakar masyarakat serta menghanguskan keharmonian negara sendiri.
Mudarat kepada pebagai pihak
Kebebasan bersuara dan
kebebasan bermedia sosial adalah baik untuk diamalkan, namun janganlah memilih
jalan memfitnah untuk menjatuhkan orang lain sehingga mendatangkan mudarat
kepada pelbagai pihak.
Bersuara dan bergerak aktif di
media sosial adalah lebih baik dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang
mendatangkan faedah dan saling menambahkan kerukunan dalam hidup bermasyarakat.
Ingatlah bahawa fitnah, sama
ada memula atau menularkannya, hanya memporak-peranda serta merosakkan hidup
bermasyarakat.
Jika kalian seorang tokoh yang
berpengaruh ayuh gunakanlah pengaruh kalian itu untuk mempengaruhi rakyat
supaya menjalani hidup dengan rukun serta damai.
Jika kalian seorang agamawan
serta bijak pandai gunalah ilmu tersebut untuk membantu mencelikkan masyarakat
ke arah kehidupan yang diredai Allah S.W.T.
Rumusannya, siapa pun kita
usahlah menjadi lalat dan langau yang hanya mahu mencari keburukan demi
keburukan.
Mari kita menjadi optik lebah
yang mencari kemanisan sepanjang kehidupan.
Selamat ulang tahun KEADILAN
yang ke 25 tahun.
Semoga KEADILAN terus teguh
zaman berzaman dan melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis yang hebat untuk
Malaysia Madani yang sejahtera.
______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.