Idrus Ibrahim
Di universiti, pensyarah dilantik kerana ilmu. Sepopular mana pun seseorang, kalau jahil, tak akan dapat mengajar di universiti. Syarat sekarang, kena ada PhD.
Di masjid lain pula. Penceramah dijemput kerana popular. Sealim mana pun seseorang, kalau tak popular, masjid tak berapa minat nak jemput. Syarat, kena popular.
Pensyarah mengajar sehari paling kurang dua kelas. Kena semak kertas ilmiah pelajar, buat kajian, tulis dalam jurnal, bentang kertas ilmiah dan macam-macam. Habis kelas makan tengahari, bayar sendiri. Ikan temenung dengan sayur kubis goreng campur ikan bilis.
Masuk kelas, keluar kelas anak murid tak cium tangan pun. Kadang-kadang anak murid tak kenal pun. Berselisih bahu di jalan lagilah, anak murid buat tak kisah saja. Silap haribulan anak murid "maki" sebab tak puas hati dengan pensyarah. Dalam kelas, kalau dahaga, carilah air sendiri. Tak ada sesiapa nak layan.
Penceramah popular datang masjid 5 minit sebelum Maghrib. Lepas solat, kuliah. Buat lawak bodoh sikit, cerita hal peribadi sikit, cerita bab rumah tangga sikit, sebut boddo sekali dua, kuliah pun tamat. Makan malam, penganjur sedia. Kadang-kadang, disantun di restoran ada kelas.
Anak murid cium tangan. Selipar mahal pun anak murid susunkan. Diiring sampai ke pintu kereta dan pintu ditolong bukakan. Kereta dah berjalan, anak murid lambai-lambai lagi.
Dalam kereta, penceramah popular buka sampul atau semak dalam bank secara atas talian. RM1,000 atau RM1,500 dah masuk. Penceramah senyum puas. Penceramah beritahu pemandu Alphadnya, besok pagi jangan lupa, kuliah subuh dan dhuha pula.
Penceramah popular ulang berceramah perkara yang sama. Berkali-kali isu ceramah sama saja, asalkan tempat ceramah berbeza. Datang kuliah lenggang, keluar kuliah terus dapat duit.
Pensyarah universiti, habis kelas belum dapat duit. Kena tunggu hujung bulan. Berapa? Ya, katakan RM10,000 sebulan. Penceramah popular dapat RM1,000 x 2 kali kuliah x 30 hari. Berapa? Ya, RM60,000 sebulan.
Tolak pi tolak mai, katakanlah RM30,000 sebulan. Ngaji tak setara mana, mengajar tak setara mana, dapat sebanyak itu. Pensyarah punya teruk, dapat hanya sepertiga pendapatan penceramah popular.
Pelajar keluar universiti dapat ilmu. Jemaah keluar kuliah penceramah popular dapat apa? Dapat modal maki orang? Dapat akal untuk jadi Khawarij? Dapat modal nak sembang lawak di kedai kopi?
Ya, saya mungkin keterlaluan dalam membuat perbandingan. Tapi itulah realiti meskipun tidak tepat sepenuhnya.
Kita sudah lama "diperbodohkan" oleh penceramah popular. Atau istilah yang lebih kejam, "penceramah cari makan dengan jual agama". Sudah-sudahlah. Carilah pintu keluar untuk masalah ini. Pintu keluarnya sudah banyak terbuka, cuma kita yang masih belum mahu keluar.
Saya bukan pensyarah universiti dan bukan penceramah popular. Saya menulis atas kapasiti sebagai anggota masyarakat yang mahu mengeluarkan masyarakat daripada kebodohan.