Oleh: Abdullah Zaid
Kelewatan dua projek menaik
taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau di bawah
agensi Kerajaan Negeri Kedah memberi kesan buruk kepada bekalan air rakyat
Kedah di kebanyakan kawasan terjejas.
Menurut Pengarah Komunikasi
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail, Kerajaan Negeri
melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu menyelesaikan segera projek sakit
itu bagi memulihkan bekalan.
Katanya, SADA dilihat perlahan
dalam mengendalikan projek rawatan air bersih sehingga menyukarkan rakyat dalam
menjalani kehidupan seharian terutama di kawasan Sungai Petani dan Merbok.
"Ramai terkesan, kita
faham mungkin tidak dapat diselesaikan pada Hari Raya ini akan tetapi komitmen
dan kesungguhan Kerajaan Negeri itu perlu ada kerana masalah ini sudah berlaku
sejak 9 tahun lalu," katanya kepada Suara Keadilan.
Tambah Fitri, masalah bekalan
air itu bukan sahaja menyukarkan kehidupan seharian malah dibimbangi akan
memberi kesan kepada penurunan nilai hartanah di Sungai Petani dan Merbok yang
kian meningkat ketika ini.
"Oleh itu, Kerajaan Negeri
perlu ada iltizam dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan
masalah ini," ujarnya.
Untuk rekod, dua projek bekalan
air di LRA Bukit Selambau dan Sungai Limau dianggap projek bermasalah oleh
kerajaan pusat kerana sepatutnya telah siap namun tergendala akibat kenaikan
harga bahan binaan dan ketidakcekapan Kerajaan Negeri Pas yang tidak
memaklumkan kenaikan tersebut sehingga menyukarkan penyaluran peruntukan
tambahan.