AGONG YANG WAJIB DISANJUNG, TITAH JANJI BAGINDA MULA DIKOTA

 

AGONG YANG WAJIB DISANJUNG, TITAH JANJI BAGINDA MULA DIKOTA


Politik Semasa

Pada 19 Mac lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, tempoh “bulan madu” baginda akan tamat tidak lama lagi dan selepas ini, baginda akan memulakan cara pemerintahan yang sebenar.

Baginda bertitah, kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan baginda memegang tampuk pemerintahan negara.

Menurut Sultan Ibrahim, baginda memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri.

“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk Ketua Negara.

“Apabila habis tempoh “bulan madu” ini…, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong itu bertitah demikian pada titah diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 Di Istana Negara.

Sebagai membuktikan titah janji itu, sehingga ini sekurang-kurangnya dua tindakan telah diambil oleh baginda sebagai mengotakan apa yang dikata itu benar-benar dikota.

Pada 9 April lalu, dengan kebimbangan percikan api perkauman bakal bertukar menjadi bahaya lebih besar kepada negara berikutan isu stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart, baginda dengan segera memanggil mengadap beberapa pemimpin UMNO dan DAP ke Istana Negara.

Pemimpin yang hadir dalam sesi mengadap itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan; Pengerusi UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dalam titahnya, Sultan Ibrahim berharap pemimpin politik di negara ini tidak ekstrem dalam memberikan pandangan berkenaan isu-isu agama dan perkauman.

Sebaliknya, titah baginda, pemimpin dari semua parti mesti menjadi jambatan atau penghubung antara masyarakat majmuk di Malaysia, dengan memberikan contoh perilaku yang matang.

“Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan. Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah baginda lagi.

Tindakan baginda itu terbukti telah berjaya meredakan ketegangan yang mula berkembang dalam masyarakat di mana bebarapa premis KK Mart sebelum itu mula diserang dengan bom buatan sendiri, meskipun ramai berpendapat, sepatutnya Perdana Menteri sendiri yang lebih awal berbuat sesuatu dalam menyejukkan suhu yang mula panas itu.

Apa pun, dengan tindakan Yang di-Pertuan Agong memanggil mengadap pemimpin-pemimpin UMNO dan DAP itu, sebenarnya itulah cara pemerintahan sebenar yang disebut baginda sebelum ini akan dilakukannya bila tempoh “bulan madu” telah tamat.

Semalam pula, 15 April, Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaan projek tersebut.

Baginda yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, tetapi sehingga kini masih lagi dalam pembinaan.

“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan.

“Pada hari ini, saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan.

“Mengapa ia dirobohkan, saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan Jurutera Daerah Mersing,” titah baginda kepada Royal Press Office yang dikongsikan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kolam selam tempur merupakan fasiliti yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.

Fasiliti itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti mock up kapal, entry point bagi kemasukan melalui udara, serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi.

Kerihatinan baginda terhadap projek pembinaan kolam selam tempur ini amatlah disanjung tinggi, bukan saja kerana kelewatannya menjejaskan latihan pasukan anggota 21 GGK, tetapi juga suatu perbuatan yang merugikan kewangan negara.

Soalnya, kenapa meskipun setelah enam kali penangguhan diberikan dan projek masih belum siap juga, pihak yang lebih bertanggungjawab seperti Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerjaraya hanya berdiam diri saja dan tidak serius dalam memastikan ia disiapkan?

Bukankah pihak tersebut yang sepatutnya lebih dulu menunjukkan keprihatinan terjadap projek yang gagal disiapkan itu tanpa menunggu Yang di-Pertuan Agong perlu bersuara berkenaan dengannya?

Sekali lagi, Sultan Ibrahim dalam hal ini telah menunjukkan sikap amat terpuji dan benar-benar memperlihatkan cara pemerintahan sebenar baginda selaku ketua negara.

Dengan apa yang dilakukan baginda ini, diharapkan pemimpin-pemimpin kerajaan selepas ini akan lebih kerap turun padang memantau projek-projek yang telah diumumkan, tetapi masih terlewat untuk disiapkan.

Jika mahu diselidiki, banyak sekali sebenarnya projek-projek untuk kepentingan awam yang masih belum siap walau telah melebihi tempoh ditetapkan, bahkan sebahagiannya sudah pun terbengkalai begitu saja.

Jangan sampai mereka akhirnya malu sendiri melalui cara pemerintahan sebenar oleh Yang di-Pertuan Agong jika baginda terus menegur satu demi satu projek untuk rakyat yang gagal disiapkan mengikut jadual.

Begitu pun, pendekatan menunjukkan cara pemerintahan yang sebenar itu amatlah terpuji dan disanjung tinggi kerana terbukti baginda benar-benar mengutamakan rakyat serta negara. – ShahbudinHusin 16/04/2024.



0