WANITA PERTAMA MENJADI JUTAWAN DI US

 

Jamzuri Ardani




Beliau berkahwin ketika berumur 14 tahun dan pada umur 20 tahun dia menjadi ibu tunggal.  Dia adalah wanita pertama di AS yang menjadi jutawan hasil usahanya sendiri. 


Nama beliau tercatat di dalam Guinness Book Of Records sebagai wanita pertama menjadi jutawan secara mandiri tanpa mewarisi sebarang harta dari sesiapa. 


Sara Breedlove dilahirkan pada tahun 1867 di Louisiana dari keluarga hamba abdi yang bekerja di ladang kapas. Bagaimanapun Sara dilahirkan setelah keluarganya tidak lagi menjadi hamba. Ketika berumur 7 tahun, kedua ibubapanya meninggal dunia.  Sara terpaksa tinggal bersama keluarga kakaknya yang telah berkahwin. 


Semasa kanak-kanak Sara tidak pergi ke sekolah.  Beliau cuma sempat belajar secara formal 3 bulan sahaja di sebuah sekolah gereja berhampiran tempat tinggalnya. 


Usianya baru 14 tahun ketika Moses McWilliams mengahwininya dan pada empat tahun kemudian pasangan muda ini mendapat anak perempuan, Alleluia.  Dua tahun selepas kelahiran anak mereka, suaminya meninggal dunia. Sara menjadi ibu tunggal di usia 20 tahun.


Pada tahun 1888, Sara berpindah ke St. Louis mengikuti abangnya yang bekerja di kedai gunting rambut. Dia mula bekerja membasuh pakaian di kedai dobi dan menjadi tukang masak restoran dengan gaji USD1.50 sehari.  Dengan pendapatan itu beliau menghantar anaknya ke sekolah.


Sebagai pekerja di kedai dobi, beliau terdedah dengan pelbagai bahan kimia pencuci serta  persekitaran yang panas dan kering yang menyebabkan pelbagai penyakit.  Kulitnya mengelupas dan rambutnya gugur.  Abangnya yang bekerja sebagai tukang gunting di kedai salon rambut memperkenalkan produk jagaan rambut kepada Sara. Sara mula belajar cara-cara penjagaan rambut dan produk-produk yang berkaitan.  Abangnya memperkenalkannya dengan seorang pengeluar produk penjagaan rambut dan dari situlah Sara menjadi jurujual yang menjaja produk dari rumah ke rumah disamping mengajar pelanggan tentang penjagaan rambut. 


Ketika masih bekerja sebagai jurujual di syarikat tersebut, beliau berpindah ke Denver dan memulakan perniagaan produk kecantikannya sendiri secara sambilan.  Setelah beberakali mencuba, akhirnya beliau berjaya membina perniagaannya dengan pelbagai produk kecantikan sendiri. Pada tahun 1906, beliau berkahwin dengan Charle J. Walker dan syarikatnya diberi nama Madam CJ Walker.  Suaminya membantunya membina rangkaian pemasaran di timur dan barat AS. Mereka kerap bermusafir dari satu negeri ke satu negeri untuk memperkenalkan produk mereka.  Sasaran mereka ialah wanita kulit hitam.  Mereka bukan sahaja merekrut agen jualan, tetapi juga mengadakan kelas-kelas melatih jurusolek produk kecantikan.  Anaknya yang sudah tamat belajar membantu menguruskan penghantaran barang pesanan dari Denver ke destinasi yang diminta pelanggan.


Sara dan suami mengembangkan perniagaannya ke utara AS dan berpindah ke Pittsburg dan kemudian ke Indianapolis di mana ibupejabat syarikat Madam CJ Walker diwujudkan. 


Setelah 10 tahun berusaha keras, syarikat mereka sudah mempunyai kilang, makmal pembangunan produk, rangkaian salon kecantikan di merata tempat , dan 20 ribu agen di seluruh AS. 


Beliau bukan sahaja berjaya membina empayar perniagaan dari bawah, tetapi juga membantu puluhan ribu wanita kulit hitam keluar dari kemiskinan. 


Sara meninggal dunia pada umur 51 tahun dan dicatatkan sebagai wanita kulit hitam paling kaya di AS dengan kekayaan mencecah USD1 juta. Beliau juga banyak mendidik wanita kulit hitam supaya berusaha keluar dari lingkaran kemiskinan dan pelbagai masalah sosial.  


Sebelum meninggal dunia, beliau mewasiatkan agar dua pertiga dari keuntungan bersih syarikatnya hendaklah didermakan kepada pelbagai aktiviti kebajikan.