Istilah walaun sering dikaitkan dengan Pas
iaitu mereka yang menjadi penyokong tegar, teramat setia, taksub dan memiliki
wala’ melampau kepada pemimpin utama parti tersebut.
Golongan ini akan mempertahankan apa saja keputusan,
cakap atau kata-kata pemimpin utama mereka itu.
Secara umumnya walaun bukanlah perkataan yang
diiktiraf secara rasmi, tetapi ia berasal daripada perkataan wala’ atau setia.
Ada yang kata walaun adalah perkataan yang
diberi oleh golongan pembenci Pas dengan mencantumkan perkataan wala’ dan
malaun – yang bererti golongan yang dikutuk dan dibenci kerana kesetiaan
melampau mereka.
Ada pula yang menyebut, walaun itu bermaksud
wala’ yang melantun-lantun di mana mereka ini, tak kira siang atau malam, kerja
mereka hanya tahu setuju dan membenarkan apa saja kata-kata pemimpin mereka.
Lantaran kesetiaan yang melampau dan hanya
ingin mengiayakan apa saja kata atau tindakan pemimpin yang dipuja itu,
golongan walaun juga dikatakan memiliki kepakaran mencipta dalil-dalil tertentu
untuk menguatkan hujah mereka.
Dalil-dalil yang sering diguna adalah dalam
bentuk hadis-hadis pilihan, petikan kata-kata para sahabat di zaman Nabi dan
ungkapan ulama-ulama besar di zaman dahulu,
Tetapi, benarkah walaun itu hanya ada dalam
Pas saja?
Dalam pengalaman saya sebagai penulis yang
sering mengkritik dan kadang-kadang membalun ramai pemimpin, sejujurnya saya
dapati walaun itu ada di mana-mana saja.
Selain dalam Pas yang sudah tentu ada walaun,
dalam UMNO, dalam Bersatu, dalam PKR, dalam DAP dan dalam lain-lain parti juga
ada walaun masing-masing.
Cuba kita kritik pemimpin utama UMNO, Bersatu,
PKR dan DAP, tidak lama kemudian pasti akan ada tindakbalas daripada penyokong
tegar pemimpin berkenaan untuk mempertahankan dan menyerang balik
kritikan-kritikan itu.
Apa lagi jika selama ini kita sering memuji
dan mengangkat seseorang pemimpin itu, tetapi apabila pemimpin berkenaan
melakukan sesuatu yang diangggap tidak wajar, lalu kita mengkritiknya, maka
berdentam-dentumlah serangan akan menimpa kita.
Di samping cemuhan, pelbagai andaian juga akan
menyusul dilabelkan kepada kita, kononnya kita sudah pro dan condong ke arah
lain dan sebagainya lagi.
Pokoknya, penyokong tegar dan pentaksub
seseorang pemimpin tetap tidak membenarkan pemimpin pujaan mereka ditegur atau
dikritik, meski apa yang ditegur itu adalah sesuatu yang betul dan bertujuan
demi kebaikan pemimpin berkenaan.
Selagi seseorang itu hanya mengiyakan saja apa
kata tindakan pemimpin pujaannya dan tidak berani memberi teguran, bahkan lebih
selesa memilih berdiam diri melihat sesuatu yang tidak wajar dilakukan
seseorang pemimpin itu, selagi itulah kewalaunan itu terus wujud dalam semua
parti.
Kadangkala ketua kampung, ketua cawangan dan
ketua ranting juga ada ramai walaun di sekeliling mereka.
Kewalaunan bukan saja wujud disebabkan
kesetiaan totok kepada parti dan pemimpin, tetapi juga kadangkala lahir kerana
ingin beroleh jawatan, kedudukan dan lain-lain nikmat kehidupan.
Dalam pada itu, sementara walaun lebih sering
dikaitkan dengan Pas dan penyokong Hadi Awang, sebagai tindakbalasnya,
penyokong Pas pula seringkali melabel penyokong PKR dan Anwar Ibrahim dengan
gelaran walanon.
Gelaran itu merujuk nama Anwar yang menjadi
kebiasaannya bagi orang sebelah utara sana memanggilnya dengan gelaran Abang
Non.
Hanya ketika ini, gelaran bagi penyokong setia
atau pentaksub lain-lain parti belum lagi dicipta sebagaimana terciptanya
istilah walaun dan walanon.
Apa pun, baik walaun atau walanon dan apa saja
gekaran, maksudnya adalah sama iaitu merujuk kepada kelompok penyokong parti
atau pemimpin yang memiliki kesetiaan dan ketaksuban yang maha tinggi.
Peranan besarnya, walaun boleh dikata
menceriakan dan menjadikan dunia politik lebih menarik untuk terus
dikecimpungi.
Tanpa walaun, bergelumang dalam politik
mungkin tidak semenarik dan semeriah seperti yang terbentang di depan mata.
Cuma, janganlah dikecam walaun di sebelah sana
saja kerana di sebelah sini pun ada walaun juga.
Lihatlah cermin, walaun itu sebenarnya ada di
mana-mana dan mungkin termasuk kita. – ShahbudinHusin 08/03/2024.