Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari hari ini
menyatakan sokongannya kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin
Shari.
Menerusi satu kenyataan, katanya, keputusan
itu dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan.
“Ini setelah saya meneliti ucapan DYMM Sultan
Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di
landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Langkah ini juga adalah akibat daripada
beberapa siri tindakan Perikatan Nasional terutamanya Perikatan Nasional Selangor
yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja
Melayu.
“Ini adalah berlawanan dengan prinsip orang
Melayu beragama Islam,” katanya.
Bersatu pada 2 Mac lalu meminda
perlembagaan parti itu dalam usaha untuk menghalang wakil
rakyatnya berpaling tadah.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat agung luar
biasa (EGM) Sabtu lalu, dengan perwakilan parti sebulat suara menyokong usul
untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu.
Artikel itu menetapkan perkara berkaitan
peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.
Sebelum ini, enam ahli parlimen Bersatu
menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung
Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar
Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang),
Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).
Abdul Rashid adalah Adun pertama Bersatu yang
berpaling tadah. Katanya, keputusan berkenaan adalah bagi memastikan
kesejahteraan rakyat Selangor terutamanya penduduk di Selat Kelang yang akan
menerima manfaat daripada kerajaan yang stabil serta padu.
“Saya kekal komited sebagai ahli Bersatu dan
akan terus berkhidmat sebagai Adun Selat Kelang,” katanya.
Dengan sokongan Abdul Rashid, kerajaan
perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan dan disokong oleh BN kini mempunyai 35
kerusi di DUN Selangor manakala PN yang dianggotai oleh PAS dan Bersatu
mempunyai 21 kerusi.
Jumlah itu masih belum mencukupi untuk
menikmati sokongan dua pertiga.
Sumber –
https://m.malaysiakini.com/news/698401