Waktunya sudah tiba untuk pemimpin kita melihat hal yang lebih penting!

 

Untuk kekal relevan, pemimpin, guru dan pelajar kita perlu diberi ruang kebebasan untuk berfikir dan tumbuh

By

 Sukeshini Nair

 -

15 Mar 2024




 

Follow us on our Malay and English WhatsApp, TelegramInstagramTiktok and Youtube channels.

Beberapa rakan saya mengatakan bahawa saya seorang yang cukup pesimis apabila menyentuh isu dan keadaan yang kita alami di Malaysia. Saya tidak bersetuju!

Saya hanyalah segelintir daripada mereka yang sukar untuk bertolak ansur dengan situasi apabila ‘sistem’ kita rosak atau tidak berfungsi kerana tidak berpandangan jauh, mempunyai perancangan strategik dan konsistensi.

Apabila orang lain melihat cahaya di hujung terowong, saya mempunyai kecenderungan untuk melihat jika ada kereta api yang bergerak ke arah kita; bukan untuk bertembung namun untuk melihat bagaimana kita boleh mengelak daripada kemalangan!

Sejak akhir-akhir ini, kereta api yang ada tampaknya membawa beberapa siri isu dan kontroversi, dari bak kut teh kepada kapal tongkang Melayu, sehinggalah kepada isu mengenai tapak warisan Unesco serta perkara yang lebih serius berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Apabila keputusan berhubung petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman dibawa ke Mahkamah Persekutuan berkaitan undang-undang Syariah Kelantan diumumkan, beberapa ahli politik seperti cacing kepanasan kerana kononnya ia merupakan ‘penghinaan’ kepada Tuhan dan Islam.

Namun, apa yang lebih memeranjatkan saya ialah bagaimana mereka seolah-olah tidak memahami bahawa keputusan mahkamah itu hanya menghapuskan percanggahan di antara undang-undang negeri dan persekutuan.

Pada waktu yang sama berlaku kekecohan yang tidak perlu ini juga, mungkin ramai yang terlepas pandang tentang penahanan penerbit filem Mentega Terbang kerana ‘dosa’ mereka yang kononnya jelas ‘menghina Islam’.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran

·         Become an Aliran member

Tel: 04-658 5251 email: aliran.malaysia@yahoo.com

Sentiasa terdapat garis halus antara apa yang dianggap sebagai ‘penghinaan’ dan apa yang dianggap sebagai ‘idea yang mencapah’ yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pemikiran kreatif dan lateral. Ia adalah proses yang sepenuhnya subjektif dan bergantung pada cara seseorang memilih untuk membaca sesuatu mesej.

Ia juga cukup mengecewakan apabila Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), yang secara ironinya, sepatutnya menyokong kemajuan idea dan pemikiran Islam, telah membatalkan pelancaran buku berjudul Autoritarianism and Underdevelopment edisi bahasa Melayu oleh Dr Ahmet T Kuru, berikutan laporan menerima ‘tekanan daripada konservatif’.

READ MORE:  Time for our leaders to look at the bigger picture!

 

Tindak balas sedemikian oleh kerajaan dan ahli politik kita membuatkan kita tertanya-tanya sama ada mereka akhirnya akan mencengkam kebebasan dalam mempertanyakan soal intelektual yang berbeza.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menghentikan budaya paternalistik ini dan menyerahkan keputusan agama yang peribadi ini kepada individu. Lagipun, bukankah sudah cukup waktu pengajian agama dalam kurikulum sekolah untuk membantu individu dalam membuat keputusan ini untuk diri mereka sendiri apabila dewasa?

Sejak akhir-akhir ini, pihak polis juga sangat sibuk, menyiasat semua jenis ‘ancaman’ yang dilihat – daripada siaran dalam talian oleh warga asing hingga perhimpunan Bersih yang mendesak adanya pembaharuan politik.

Ahli politik kita mungkin tidak menyedari bahawa perubahan dan inkuiri intelektual hanya boleh berkembang daripada pengalaman yang rencam serta pemikiran yang lebih terbuka. Banyak perkara perlu dipersoalkan dan direnung, bagi mengenal pasti bias dan titik buta.

Seringkali, soalan yang betul boleh memberi kita kaedah cerapan baharu untuk mengesahkan iman kita, mengalihkannya daripada pengalaman yang didorong oleh dogma kepada pengalaman peribadi yang lebih bermakna.

Jika kita tidak dapat melayan wujudnya pertanyaan dan percanggahan kognitif, bagaimanakah kita boleh berharap untuk belajar dan bergerak ke hadapan mengikut masa?

Jadi, apakah hala tuju kita sekarang? Adakah kita patut menunggang kuda dan kembali ke zaman kegelapan?

Pendekatan “Madani” yang diterapkan pentadbiran semasa ini seakan tidak mempunyai hala tuju. Malah lebih teruk dari sebelumnya, ia kini tidak lagi dipandang ada percubaan untuk menjadi konsisten. Dengan hingar-bingar melibatkan Lembaga Pengampunan di dalam kes Najib Razak baru-baru ini, ia telah mematahkan kepercayaan rakyat, memperolok-olokkan konsep keadilan dan kejujuran kita!

Nampaknya di Malaysia, tidak semua lelaki dicipta sedarjat dan sesetengah lelaki lebih ‘sedarjat’ daripada yang lain berdasarkan kelahiran, kedudukan, nama atau kekayaan mereka.

Malaysia telah mengalami banyak ketirisan rizab kewangannya – dek kerana ahli politik seperti Najib. Individu yang di tampuk kekuasaan seperti Taib Mahmud dan Daim Zainuddin juga mengumpul kekayaan yang sangat besar.

READ MORE:  Dalam ramai-ramai orang, Anwarlah yang patut tahu kesannya: Jadi, mansuhkan akta menindas sekarang!

 

‘Lintah darat’ seringkali ada di tengah-tengah kita, menyamar sebagai ketua negara yang baik hati dan pemain utama industri yang mengakibatkan tirisnya berbilion-bilion daripada tabung negara kita.

Video polis yang ‘prihatin’ yang didakwa meminta rasuah daripada sepasang vlogger antarabangsa juga turut menjadi tular.

Jadi, adakah kita hairan saatnya hari ini kita kekurangan dana untuk mengembangkan perkhidmatan kebajikan kepada rakyat atau mengurus infrastruktur yang semakin menua?

Trafik lembab yang menyakitkan hati di sepanjang lebuh raya Plus kita yang berusia 40 tahun sejak beberapa minggu kebelakangan ini sahaja telah menunjukkan bahawa kita telah gagal menangani kekurangannya yang sepatutnya dapat dielakkan.

Tergendalanya sistem ‘aerotrain’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang dahulunya merupakan lapangan terbang ‘terkemuka’ juga amat memalukan. Hari ini, lapangan terbang ini disenaraikan sebagai lapangan terbang kelapan terburuk di Asia.

Tidak seperti Malaysia, adik beradik dan jiran kita, Singapura, tidak akan pernah membenarkan terjadinya ‘kerosakan’ sebegitu di lapangan terbangnya yang menjejaskan imejnya sebagai sebuah negara yang berfungsi dengan baik!

Adakah kegagalan ini disebabkan oleh ketidakcekapan dalam pemikiran strategik atau kerana kekurangan dana – atau kedua-duanya sekali?

Sejak akhir-akhir ini, malah pesara perkhidmatan awam yang telah menerima rawatan perubatan di Institut Jantung Negara, juga perlahan-lahan dihentikan kerana beban pesakit yang tinggi dan pembiayaan yang tidak mencukupi untuk menampungnya.

Dengan skim pencen kerajaan menjadi beban fiskal yang semakin meningkat kepada perbendaharaan negara, serta nilai mata wang kita yang merosot berbanding dolar Amerika (dan juga dolar Singapura) dan pemarkahan sekolah antarabangsa mengikut piawai Pisa kita yang menjunam teruk di rantau ini, bukankah ia petunjuk yang mencukupi bahawa kita merosot jauh?

Jika markah Pisa kita terus merosot dan pelajar kita yang sebahagian besarnya kekal satu bahasa dengan prestasi rendah dalam matematik dan sains, serta dengan prospek berterusan untuk kehilangan sumber yang lebih besar, terutamanya ke Singapura, bolehkah kita meneruskan kecemerlangan dalam kualiti sumber manusia, produktiviti, kreativiti dan inovasi ?

READ MORE:  Threat to freedom of expression: Rise of fascism?

 

Negara-negara lain di rantau ini sudah mula mendahului, termasuk Vietnam, Indonesia dan Filipina.

Adakah kita dapat mengharungi cabaran teknologi dan ekonomi global dalam dekad akan datang, termasuklah dalam kita mengendalikan sistem kecerdasan buatan (AI)?

Dalam memberi tumpuan berlebihan kepada kontroversi kecil berulang kali seringkali mendatangkan lebih banyak kerosakan kepada Malaysia, khususnya dalam menjejaskan pelaburan asing, dinamika ekonomi, pembangunan syarikat baharu serta peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita berfikir secara bijak, rasional dan strategik tentang gambaran yang lebih besar untuk Malaysia, melangkaui perbezaan di antara ahli politik kita, ego mereka dan kegilaan mereka untuk kekal berkuasa. Sudah tiba masanya untuk semua orang berganding bahu untuk mengutamakan kemampuan.

Untuk kekal relevan, para pemimpin, guru dan pelajar kita perlu diberi ruang kebebasan untuk berfikir dan berkembang, dengan mengenepikan retorik perkauman dan ketaksuban agama. Mereka harus digalakkan untuk bersikap kritis, inovatif dan strategik.

Mereka harus cukup berani untuk menyatakan idea-idea baru bagi mencabar yang lama walaupun ia boleh jadi tidak popular di kalangan konservatif. Tahap kemampuan kita perlu ditingkatkan.

Jangan sekali-kali kita mengajar kaum muda, lelaki dan wanita kita untuk merasa berhak mendapat laluan yang mudah dan selamat sepanjang kehidupan. Sebaliknya, mereka perlu bersedia untuk bermandi peluh dan bersaing dengan sengit.

Jika kita tidak berubah sekarang, kita akan menjadi seperti dinosaur. Apabila itu berlaku, tidak ada ‘kapal tongkang’ khayalan apa pun yang dapat menyelamatkan kita. Kita tidak seharusnya membenarkan ‘kebodohan dalam menghadapi kesusahan’ menjadi moto negara kita.

Rakyat Malaysia adalah bangsa yang elok sempurna. Tiada di mana-mana kepelbagaian budaya dan agama kita yang kaya ini, keupayaan kita untuk bersatu-padu, kesediaan untuk saling bekerjasama boleh didapati di mana-mana tempat lain di dunia. Ia adalah kekuatan terbesar kita, jika ia dibiarkan berkembang.

Sudah tiba masanya kita melihat kemungkinan yang lebih besar untuk Malaysia.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
9 Mac 2024