Di bawah pengawasan Najib Razak selaku menteri
kewangan, SRC International Sdn Bhd (SRC) menjadi mangsa penipuan besar-besaran
oleh bekas perdana menteri itu, kata peguam syarikat terbabit.
Membacakan kenyataan pembukaan dalam
perbicaraan penuh hari pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Lim
Chee Wee turut memetik kata-kata Najib sendiri mengenai syarikat SRC.
Kata Lim, Najib mendakwa SRC adalah “tonggak
kepada pembangunan berpanjangan ekonomi Malaysia yang mampan panjang untuk
rakyat”.
Daripada menjadi wadah untuk rakyat, kata Lim,
SRC kemudian menjadi mangsa penipuan berskala besar dan terancang oleh Najib
melalui pelbagai salah laku sebagai perdana menteri dan menteri kewangan,
penasihat emeritus SRC, bahkan selaku pengarah yang terselindung.
Kata Lim, SRC menjadi medium yang dimanipulasi
oleh Najib untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan
Wang Persaraan (KWAP).
Tabung itu, tambah Lim, merupakan dana
persaraan untuk kakitangan awam negara namun digunakan untuk memperkayakan
Najib sekurang-kurangnya AS$120 juta.
Dalam proses itu, kata peguam terbabit, SRC –
dan kemudiannya rakyat – menanggung kerugian sekurang-kurangnya AS$1.18 bilion.
Lim berkata demikian pada hari awal
perbicaraan tuntutan SRC ke atas Najib– bernilai AS$1.18
bilion – difailkan pengurusan baru syarikat itu pada 2021.
Pada asalnya SRC menamakan Najib serta enam
bekas pengarah syarikat terbabit. Bagaimanapun SRC kemudian menggugurkan semua
nama yang disenaraikan kecuali Najib.
SRC mendakwa Najib telah menyalahgunakan
kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain
melakukan penyelewengan.
Najib merupakan Penasihat Emeritus SRC dari 1
Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.
SRC – yang kini dimiliki sepenuhnya oleh
Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) – menuntut ganti rugi am, teladan
dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh
mahkamah.
Kata Lim, kerugian yang dialami adalah besar
dan berpanjangan.
“Secara kebetulan, KWAP terletak di bawah
bidang kuasa defendan pertama semasa beliau menjadi menteri kewangan,” kata
Lim.
Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Ahmad
Fairuz Zainol Abidin.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam
tahun di Kajang selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah,
salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC bernilai RM42
juta.
Dia diperintah menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta sebelum Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh serta jumlah tersebut, masing-masing menjadi enam tahun dan RM50 juta.