SIAPA HASNAN, DATUK AZMAN DAN DATUK RAHIM, BOLEHKAH ANWAR SEGERA TAMPIL MENJELASKANNYA?

 


Di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan sekali lagi tampil membuat dakwaan berhubung tawaran menyokong kerajaan madani yang dikemukakan kepadanya.

Dalam dakwaannya, Wan Saiful menamakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi membuat tindakan berkenaan bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim.

Beliau mendakwa dua Ahli Parlimen bersama tiga individu itu membuat tawaran untuk memberikan peruntukan Parlimen, peruntukan projek bernilai RM2 juta, bayaran kos perubatan isterinya, kos guaman pertuduhan di mahkamah dan ‘token’ yang tidak dinyatakan nilainya serta pengguguran kes yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Wan Saiful mendakwa, Mohd Azizi memperkenalkan beliau dengan dua individu dikenali sebagai Hasnan dan Datuk Azman pada 17 Januari manakala Zulkafperi memperkenalkan individu bernama Datuk Rahim kepadanya pada 26 Februari.

Katanya, mereka termasuk Zulkaperi kemudiannya menghantar cadangan yang mengandungi teks ucapan yang mana mereka mahu beliau membacakannya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.

“Saya menganggap ini usaha kacau ganggu melalui penawaran dan ancaman yang salah kepada saya sebagai ahli Dewan Rakyat, yang mana berlaku tindakan menghina majlis berdasarkan Seksyen 9d dan 9e Akta 347 dan boleh jika disabitkan di hukuman di bawah akta yang sama.

“Justeru, saya memerlukan pembentukan jawatankuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 80(a),” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Wan Saiful mendakwa ditawarkan habuan untuk menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, antara habuan yang ditawarkan ialah peruntukan Parlimen bagi kawasannya sebanyak RM1.7 juta.

Memandangkan sudah dua kali Wan Saiful membuat dakwaan berkaitan tawaran habuan yang dikemukakan kepadanya, mahu tidak mahu, isu ini harus dilihat sebagai perkara yang serius oleh semua orang.

Tambahan lagi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sering bersuara dan memperlihatkan dirinya begitu serius dalam memerangi rasuah di negara ini.

Apa yang menjadi kemusykilan dan pertanyaan di sini, siapakah Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim itu?

Kita mungkin tidak hairan dengan peranan Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Tanjung Karang dalam memujuk Wan Saiful dan mungkin juga Ahli-Ahli Parlimen lain untuk mengalihkan sokongan kepada kerajaan madani, tetapi bagaimana dengan penglibatan tiga individu lain itu?

Mereka ini bekerja untuk siapa sebenarnya?

Bagaimana mereka boleh membuat tawaran-tawaran sebegitu?

Oleh kerana kecenderungan mereka ialah untuk memujuk Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang mengalihkan sokongan kepada kerajaan madani, adakah mereka bekerja untuk Anwar atau diberi arahan oleh Perdana Menteri?

Melihat kepada apa yang didedahkan Wan Saiful ini, malah beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang yang lain juga ada mendedahkan hal yang sama sebelum ini, ternampak tiga individu yang dinamakan itu begitu aktif dalam kerja-kerja untuk menambahkan sokongan kepada kerajaan madani?

Maka, bolehkah Anwar segera menjelaskan kaitan beliau dengan Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim itu?

Jika tiada kaitan dengan Anwar, mereka itu bekerja untuk siapa dan menerima arahan daripada siapa?

Soalnya, bagaimana tiga individu berkenaan boleh begitu aktif membuat tawaran untuk mengukuhkan kerajaan madani, termasuk menyediakan deraf ucapan untuk diucapkan oleh Ahli Parlimen blok pembangkang yang ingin ditarik menyokong kerajaan?

Penjelasan daripada mulut Anwar amat penting dalam hal ini agar kerajaan madani pimpinannya tidak dilihat seperti sebuah kerajaan dalam filem-filem Tamil yang selalu kita tonton di mana unsur-unsur gelap selalu memainkan peranan di belakang tabir untuk memperlihatkan kerajaan itu mendapat sokongan daripada rakyat. – ShahbudinHusin 21/03/2024.