Heboh diperkatakan ramai sejak tiga empat hari
kebelakangan ini tentang kejayaan Farhash Wafa Salvador muncul sebagai pemegang
saham utama sebuah syarikat senaraian awam, HeiTech Padu Bhd.
Farhash adalah Setiausaha Politik Anwar
Ibrahim ketika Presiden PKR itu belum bergelar Perdana Menteri.
Meskipun Farhash tidak memegang apa-apa
jawatan dalam kerajaan setelah Anwar bergelar Perdana Menteri, tetapi beliau
diketahui sebagai orang yang dekat dan rapat dengan Pengerusi PH itu.
Farhash berjaya muncul sebagai pemegang saham
utama syarikat penyedia perkhidnatan teknologi selepas memperoleh kepentingan
tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) menerusi Rosetta Partners Sdn
Bhd yang dimilikinya bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Sebelum ini, sebaik Anwar bergelar Perdana
Menteri, Farhash juga dilantik sebagai pengerusi dan pengarah beberapa syarikat
senaraian awam, antaranya 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan Apex Equity
Holdings Bhd.
Dalam kenyataannya semalam, Farhash
mempertahankan pemilikannya dalam syarikat tersebut kerana beliau kini tidak
lagi terlibat dalam politik, mahu pun pentadbiran kerajaan.
“Fokus penuh saya ketika ini adalah pada
bidang perniagaan dan korporat,” katanya.
Yang menjadi perbualan tentang kemunculan
Farhash menguasai HeiTech Padu itu ialah kaitannya dengan kedudukan Anwar kini
selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Tidak dipastikan sama ada kejayaan Farhash ini
menerusi bantuan Anwar atau atas usahanya sendiri, tetapi berjayanya seseorang
menguasai sesebuah syarikat dalam pasaran ekonomi bebas bukanlah sesuatu yang
janggal, malah tidak pula merupakan kesalahan.
Siapa saja yang ada upaya dan kelebihan
tertentu, berhak untuk berjaya dan menjadi kaya.
Dalam konteks Farhash, kemunculannya menguasai
HeiTech Padu Bhd dan menerajui banyak syarikat awam, lebih-lebih lagi kerana
beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Anwar, ia bukan sesuatu luar biasa.
Dalam kedudukan sebegitu, beliau dan sesiapa
pun memang patut jadi kaya.
Sebaliknya adalah pelik, bahkan luar biasa
barangkali kiranya Farhash, setelah Anwar bergelar Perdana Menteri, tetapi
hidupnya tidak berubah, lebih susah dan makin miskin daripada kehidupan
sebelumnya.
Berdekat dan dipercayai oleh orang yang berada
di puncak kuasa, adalah merupakan laluan fanpa tol untuk menjadi kaya.
Apa lagi, Anwar ketika memegang jawatan Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika era BN dahulu, memang terbukti
bersikap pemurah dalam menukar kehidupan penyokong atau mereka yang dekat
dengannya menjadi kaya raya.
Ahmad Zahid Hamidi (kini Presiden UMNO),
Kamaruddin Jaafar (bekas Ahli Parlimen PKR Bandar Tun Razak dan Kamaruddin Md
Nor (sekarang ahli Bersatu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan) adalah antara
mereka yang berjaya menjadi kaya atas pertolongan Anwar ketika itu dan memiliki
saham di syarikat-syarikat senaraian awam.
Selebihnya, ramai juga penyokong Anwar yang
lain dijadikan kaya dengan diberikan lesen bank, menguasai syarikat media serta
diberi kontrak kerajaan yang lumayan.
Pendeknya, pada waktu itu ramai sekali orang
Melayu yang menjadi kaya dan ramai juga yang sedia mengaku sebagai penyokong
Anwar.
Sebagai orang Melayu, walaupun kita tidak
kaya, kita tetap bangga melihat bangsa kita sendiri jadi kaya.
Setidak-tidaknya, apabila kaya, mereka ini
akan banyak bersedekah, menderma dan suka berbelanja bagi menyuburkan lagi
kitaran ekonomi, selain menunaikan kewajipan berzakat.
Sebab itu, kita patut bangga dengan kejayaan
Farhash memiliki saham di beberapa syarikat awam ini, seterusnya bergelar lebih
kaya daripada sebelum ini.
Dalam waktu yang sama, sementara kita tidak
pasti kejayaan Farhash ini kerana ditolong-bantu oleh Anwar atau atas
kemampuannya sendiri, tetapi dengan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan, tentulah sukar untuk menepis kejayaan itu mampu dicapai tanpa
bantuan kuasa.
Macam mana kita cuba berhujah pun, lebih ramai
yang mahu percaya kejayaan itu ada kaitan dengan kedudukan Anwar sebagai
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Cuma, Anwar dalam hal ini tidak perlu gundah
dan rasa bersalah dengan tanggapan ramai itu kerana menjadikan orang yang dekat
dengannya sebagai kaya bukanlah suatu dosa.
Sesiapa pun, bila seseorang itu ada duit lebih
dan ingin membelanja makan yang sedap-sedap, yang diajak pastilah rakan-rakan
yang dekat dengannya.
Tidak pernah berlaku ada yang teringin makan
steak wagyu misalnya, tetapi memanggil orang yang tidak dikenali di tepi-tepi
jalan untuk menemaninya makan.
Begitu juga, apabila ada kuasa dan kebolehan
untuk membantu, kecenderungan menolong orang yang dekat dan dipercayai adalah
lumrah sejak zaman Nabi Adam lagi.
Dalam kapasitinya sekarang, Anwar bukan saja
patut menjadikan Farhash kaya, bahkan wajar menjadikan lebih ramai orang
Melayu, terutama penyokong-penyokong setianya yang berkemampuan serta
berkebolehan, untuk turut sama bergelar orang kaya.
Lebih ramai Melayu yang mampu dijadikan kaya
adalah lebih baik untuk legasi Anwar diingati serta dikenang zaman berzaman.
Yang tidak baik ialah bila Anwar tidak mampu
melahirkan ramai Melayu kaya di sepanjang tempohnya berkuasa ini atau jika
setelah tidak lagi bergelar Perdana Menteri nanti – yang disebut hanya Farhash
seorang saja satu-satunya Melayu yang berjaya direfomasikannya menjadi
kaya. – ShahbudinHusin 20/03/2024.