Rodtang, Khlong & Penempatan Kedah
Petarung Muay Thai negara, Johan 'Jojo' Ghazali pernah
menyatakan bahawa dirinya tidak mahu diingati sebagai Rodtang seterusnya...
sebaliknya mahu diingati sebagai ‘Jojo yang pertama', Johan Ghazali yang
pertama.
Memang pada mulanya Johan merasa teruja bila dibandingkan dengan
idolanya itu, namun Johan menyatakan dia mahu menjadi dirinya sendiri.
Siapakah Rodtang? Rodtang Jitmuangnon ialah jaguh Muay Thai
terkenal dari Thailand, merupakan juara Dunia ONE Flyweight Muay Thai.
Menariknya, pada Februari 2023 yang lepas, Rodtang telah
mengahwini seorang gadis muslim, Aida Looksaikongdin. Malah gadis itu juga
adalah seorang petarung Muay Thai. Melalui perkahwinan itu, telah menjadi asbab
hidayah buat petarung hebat itu.
Jika Rodtang berasal dari wilayah Phatthalung yang mana
dahulunya ialah sebuah negeri Melayu bernama Bedelung bagaimana pula dengan
isterinya?
Ini juga sesuatu menarik kerana rumah keluarga Aida terletak di
satu komuniti muslim di satu penempatan bersejarah bernama Khlong Sam Wa, satu
daerah di Bangkok.
Apakah asal-usul Khlong Sam Wa?
Ini memerlukan kita berbalik ke masa lampau kira-kira hampir 200
tahun yang silam. Ketika itu terjadi beberapa siri serangan Siam ke atas negeri
Kedah, Patani, Kelantan dan Terengganu pada tahun 1831, 1836, dan 1838.
Terutamanya Kedah dan Patani, apabila kedua negeri itu tewas dalam peperangan
dengan Siam, maka ramailah tawanan perang dari kedua-dua negeri itu dibawa ke
Siam. Pada tahun 1837, pentadbiran Siam telah mengarahkan para pendatang Cina
untuk membina Terusan Saen Seap, yang telah siap dalam tempoh tiga tahun.
Kemudian pemerintah Siam ketika itu, Raja Rama III telah memerintahkan pula
tawanan perang dari Kedah dan Patani untuk meneruskan pengorekan terusan dan
bercucuk tanam serta membenarkan para tawanan perang tadi tinggal di sepanjang
Khlong Saen Seap ('Khlong' umumnya dirujuk sebagai terusan dalam bahasa Thai).
Majoriti tawanan dari Kedah telah menetap di sekitar Khlong Sam
Wa, Saphansoong, Khlong Saen Saep dan kawasan berhampiran, manakala mereka dari
Patani kebanyakannya menetap di sekitar Khlong Saen Saep, Hua Mark, Bangkapi,
Nong Chok, Minburi dan kawasan pinggir bandar yang berkaitan.
Para tawanan perang tadi kemudiannya dilayan seperti rakyat
biasa yang bebas; ada yang menjadi petani malah pedagang di situ. Komuniti
penduduk Melayu yang berasal dari Kedah itu kemudiannya berkembang menjadi
antara komuniti muslim di Bangkok sehingga ke hari ini.
~Srikandi
Selamat Berpuasa
*buku ATBMIV: https://shope.ee/5V7PUbI6fy
Rujukan: Legacy of Migration: the Muslim community in
Bangkok oleh Sirima Thongsawang
Kredit: Amar Amran, IG Aida/Rodtang