Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu
umat Islam menghayati pengajaran di bulan Ramadan bukan sekadar melibatkan
ibadah khusus malah mencakupi soal akhlak lebih luas seperti menyantuni
golongan miskin dan membicarakan soal keadilan.
Perdana Menteri berkata bulan
suci tersebut merupakan satu pusat pengajian atau madrasah yang membolehkan
umat Islam meningkatkan keimanan, disiplin dan akhlak.
"Saya lontarkan betapa
pentingnya umat Islam untuk menghayati semangat Ramadan dengan memperkukuh
disiplin diri dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
"Adalah penting untuk kita
menghayati madrasah Ramadan sebagai wahana menyucikan jiwa dan menghentikan
fitnah serta kerja yang sia-sia dan yang tidak membawa manfaat, selain
menggarap “the larger ethical question of Ramadan” yakni tentang kebebasan,
keadilan dan kesaksamaan," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau mengulas mengenai
ucapannya dalam perhimpunan bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri
di Putrajaya hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya
Perdana Menteri menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau tidak
mengambil berat soal ibadah apabila berbicara hal-hal Ramadan berkaitan
kesedaran, masalah kemiskinan, soal disiplin dan tatakelola.
"Sebab itu ada kupasan
alim ulama yang menyatakan Ramadan ini mengupas permasalahan etika yang lebih
luas, ia tentunya disiplin diri, benda yang (kita) boleh makan, benda kita tak
boleh makan, benda harus yang kita boleh buat, tapi kita tak buat.
"Kekuatan induk hadapi rintahan
dan percubaan, kemudian ia juga harus mengetuk pintu hati nurani kita untuk
berbicarakan hal-hal yang terkait dengan Ramadan, maknanya usaha yang lebih
untuk menambah sedekah amal jariah dan masing-masing yang punyai sedikit
keupayaan untuk menyantuni masyarakat kurang bernasib baik,” katanya.
Anwar yang baru pulang daripada
lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman berkata sekiranya ada semangat Ramadan
dalam kehidupan, masalah negara akan lebih terkawal seterusnya kejayaan itu
dapat disampaikan kepada dunia luar.
"Islam tidak boleh lari
dari hukum yang tetap tapi ibadah itu harus memberi makna lebih luas, bagaimana
boleh kita sempurnakan Ramadan kemudian sambut dengan pembaziran luar biasa,
tidak mempedulikan nasib masyarakat miskin?
"Bagaimana dalam Ramadan
masih lagi kita teruskan amalan mengambil komisen dan rasuah? Maknanya
penghayatan tidak ada," kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan supaya tidak melakukan
pembaziran pada bulan Ramadan.