Potensi pelaburan RM24.5 bilion susulan lawatan Australia, Jerman


 

Oleh: Abdullah Zaid



Kerajaan menjangkakan potensi pelaburan sebanyak RM24.5 bilion susulan lawatan Perdana Menteri (PM) ke Australia dan Jerman baru-baru ini.



Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kunjungan rasmi ke Jerman selama enam hari sebelum ini berjaya menarik pelabur luar meliputi industri tenaga dan industri pembuatan termasuk semikonduktor, aeroangkasa, produk kimia, peranti perubatan dan sektor automotif.



"Antara syarikat-syarikat Jerman yang telah memberi komitmen untuk melabur di Malaysia termasuk Siemens Energy, Infineon



Technologies, Airbus, B-Braun, BMW, Nexperia dan Delo Chemical.



"Dari segi potensi eksport pula, potensi pembelian tambahan yang diperolehi hasil lawatan ke Jerman adalah berjumlah RM1.4 bilion daripada syarikat Airbus dan ia memberi suntikan yang memberangsangkan kepada jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Jerman khususnya dalam sektor aeroangkasa bagi tempoh lima tahun akan datang," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.



Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai nama syarikat-syarikat dari Australia dan Jerman yang akan melabur di Malaysia susulan lawatan di negara berkenaan.



Mengulas lanjut, untuk pelabur-pelabur Australia, Anwar berkata syarikat AirTrunk, NextDC, LaTrobe Magnesium, Kumpulan Arnott’s, dan Cochlear Ltd adalah antara yang memberi komitmen untuk melabur di Malaysia.



"Pelaburan-pelaburan ini merangkumi sektor pusat data, alat peranti perubatan, industri keluli dan pembuatan makanan.



"Ia juga dijangka membantu Malaysia dalam memperkukuhkan ekosistem dalam ekonomi digital dan tenaga boleh baharu serta mewujudkan sekurang-kurangnya 1,200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi," ujarnya.



Jelas Perdana Menteri, Malaysia juga menjana potensi jualan eksport produk Malaysia ke Australia sebanyak RM962.1 juta bagi barangan kayu, baja, makanan dan minuman serta komponen elektrik susulan lawatan itu.