Polis telah melengkapkan siasatan berhubung
penjualan stoking dengan tulisan “Allah” di sebuah cawangan KK Mart di Bandar
Sunway, Selangor baru-baru ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
(JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, pegawai telah menyerahkan kertas
siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan sedang menunggu arahan
seterusnya.
Bercakap pada sidang media pagi ini, Mohd
Shuhaily berkata polis mencadangkan kedua-dua KK Mart dan syarikat pembekal,
Xin Jiang Chang Sdn Bhd dihadapkan dengan pertuduhan jenayah berhubung insiden
itu.
“Kedua-duanya. KK Mart dan kilang,” kata
Shuhaily ketika ditanya jika pertuduhan akan dikenakan terhadap KK Mart mahupun
kilang di Johor yang membekal stoking tersebut.
Polis telah merakam keterangan 174 individu
bagi melengkapkan siasatan.
Menurut Shuhaily, antaranya adalah kakitangan
KK Mart, daripada pekerja di ibu pejabat, pembantu di cawangan serta pemandu
lori.
“Kita perhalusi proses perolehan, ada kawalan
mutu (atau tidak). Siasatan berasaskan proses dan fakta, kemudian kita ajukan
kepada pihak pendakwaan,” katanya.
Shuhaily berkata ketika siasatan, polis
mendapati 14 pasang stoking yang memaparkan kalimah Allah, yang dipulangkan
cawangan KK Mart kepada pembekal.
Ditanya jika ada banyak lagi stoking itu di
luar sana, dia berkata tiada petanda seumpama itu setakat ini.
Pada masa sama, Shuhaily berkata mana-mana
individu yang sudah membeli stoking tersebut perlu menyerahkannnya kepada polis
untuk membantu siasatan.
“Saya syor jangan guna. Walau dia bukan
beragama Islam, jika dipakai (boleh) menimbulkan lagi amarah umat Islam.
“Siapa yang sudah terbeli, elok serahkan
kepada polis dan beritahu (beli di) kedai mana.
“Kalau ada yang terbeli di kedai lain, tolong
datang buat laporan. Jangan tangkap gambar dan tularkan (di media sosial). Ia
sangat tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Kontroversi tercetus minggu lalu apabila
gambar stoking yang tertera perkataan ‘Allah’ dijual di kedai serbaneka KK Mart
Bandar Sunway, dan tular di media sosial.
Susulan kekecohan itu, KK Mart mengeluarkan
permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam, dan
mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan
stoking berkenaan.
Ini termasuk menamatkan kontraknya dengan Xin
Jian Chang Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal yang berpangkalan di Batu Pahat,
Johor.