Nik Hasyudeen
Ada perbezaan di antara pendakwaan ke atas organisasi dengan individu yang mentadbir organisasi
Banyak undang-undang berkenaan jenayah yang membolehkan kedua-dua organisasi dan individu didakwa di atas kesalahan-kesalahan yang berkaitan.
Jadi apa bezanya pendakwaan ke atas organisasi dan individu? Adakah kesannya sama?
Organisasi-organisasi seperti syarikat sendirian berhad, syarikat berhad, yayasan yang berdaftar di bawah Akta Syarikat dan koperasi adalah badan undang-undang yang boleh menyaman dan disaman di atas nama mereka.
Mereka ditadbir, diurus dan dipimpin oleh lembaga pengarah atau lembaga pemegang amanah yang bertanggungjawab membuat keputusan dan mengambil tindakan bagi menjalankan organisasi-organisasi berkenaan.
Apabila disyakki ada pelanggaran undang-undang, agensi penguatkuasa akan menjalankan siasatan bagi mendapatkan data, fakta dan bahan bukti yang bersabit dengan kes yang disiasat. Kemudian barulah mereka membuat keputusan samada mahu mendakwa atau tidak.
Sekiranya kesalahan yang didakwa membabitkan aktivti-aktiviti jenayah ahli lembaga pengarah atau ahli pemegang amanah, mereka secara individu akan didakwa dan jika didapati bersalah boleh dihukum. Pendakwaan ke atas individu-individu ini bukannya pendakwaan ke atas organisasi.
Hanya apabila organisasi yang berkenaan dikira terlibat sama seperti gagal mewujudkan sistem dan proses seperti yang dikehendaki oleh undang-undang, barulah organisasi didakwa. Ini amat jarang kerana jika organisasi didakwa dan didenda, yang membayarnya ialah dana pemegang saham atau dana yang diamanahkan, bukannya individu yang menjadi lembaga pengarah atau pemegang amanah.
Jadi, kita sebagai ahli masyarakat kena pandai membezakan pendakwaan ke atas individu yang melakukan kesalahan jenayah dengan organisasi yang diwakili oleh individu-individu berkenaan. Jika jenayah distruktur dengan menggunakan organisasi sebagai wadah, memang padanlah pendakwaan dibuat ke atas individu-individu yang menyalahgunakan wadah-wadah berkenaan.
Malah, jika ada bukti bahawa ada organisasi yang mengalami kerugian disebabkan ahli lembaga pengarah dan pemegang amanah mereka, pemegang saham dan organisasi yang terlibat boleh menyaman orang-orang yang menyebabkan kerugian itu pula. Bagi yayasan, saya belum berjumpa kes yang mana penderma dan penyumbang menyaman ahli lembaga pemegang amanah di atas kegiatan mereka yang bercanggah dengan objektif yayasan dan merugikan yayasan.
Apabila disebut kerugian, ianya bukan terhad kepada kerugian di dalam akaun untung rugi. Kerugian ini bermaksud organisasi telah membayar kos yang lebih tinggi dari apa yang sebenarnya. Jika ianya dibayar kepada badan-badan yang ada kaitan dengan ahli lembaga pengarah atau pemegang amanah mereka, itu lebih parah.
Ilmu berkenaan organisasi ini penting untuk kita maklumi agar kita tidak dipatuk oleh ular yang sama di lubang yang sama berkali-kali.