Masalah bekalan air di Kedah yang seharusnya selesai pada tahun
lalu dan diberi penangguhan, mungkin sukar diselesaikan sekiranya kemajuan
projek Loji rawatan Air (LRA) berjalan lembab pada tahun ini.
Masalah itu bertambah rumit apabila Menteri Besar Kedah, Datuk
Seri Sanusi Mohd Nor mendakwa dana berupa geran projek Kerajaan Persekutuan
tidak lancar dialirkan ke syarikat di bawah Kerajaan Negeri yang menguruskan
projek LRA.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna
Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir meluahkan rasa kecewa terhadap sikap MB Kedah
berkenaan susulan kelewatan naik taraf LRA di Bukit Selambau.
“Berdasarkan sidang media pada 7 Februari 2024, beliau (Sanusi)
seperti semata-mata menyalahkan kenaikan kos harga barang ketika tempoh PKP dan
Covid-19, dan seterusnya tohmahan jahat seolah-olah progres projek menjadi
perlahan kerana Kerajaan Persekutuan tidak mahu memberi peruntukan tambahan,”
katanya menerusi hantaran di Facebook.
Malah jelas Akmal, lawatannya selama dua hari bermula pada 28 dan
29 Januari lalu mendapat maklumat yang kurang menyenangkan mengenai status
pembinaan LRA yang dibiayai Kerajaan Persekutuan itu.
“Projek ini bernilai RM124,900,000 dibiayai melalui geran Kerajaan
Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kedah dengan kemajuan fizikal yang
direkodkan hanya 21.57% berbanding dengan jadual sepatutnya 49%, iaitu
kelewatan sebanyak 27.43%.
“Kebimbangan saya mengenai keadaan bekalan air di Kedah adalah
kerana kebocoran air bersih atau air tidak terhasil (NRW) adalah 50.6% dan
rizab simpanan air Kedah 0% sejak tahun 2022,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Akmal bersedia untuk tampil menjelaskan isu kelewatan
projek sakit tersebut agar rakyat Kedah dapat memahami situasi terkini.
“Insya-Allah, mulai esok saya akan menjawab satu persatu dan
dedahkan fakta sebenar,” ujarnya.
Untuk rekod, projek menaik taraf LRA di Bukit Selambau, yang sudah
diberi lanjutan tempoh masa (EOT) sepatutnya siap tahun lalu, namun sehingga
kini masih gagal disiapkan.
Kegagalan kontraktor menyiapkan kerja menaik taraf LRA di Bukit
Selambau menyukarkan rakyat di Kedah terutama pengguna air di daerah Kuala Muda
menjelang musim kemarau pertengahan tahun ini.