Terima kasih tuan, Mohsin Abdullah. Baru perasan ada sebut tentang coretan saya beberapa hari lepas.
[Kata beliau menerusi Facebook: “Anwar tidak membaca buku lucah apabila menghabiskan Until August. Bukan begitu tumpuan Marquez walau selalu muncul cerita anak haram, hubungan sulit, kecurangan atau pelacur dalam karyanya”.
Kata beliau, Marquez seperti sasterawan besar abad ke-20 mengupas persoalan budaya dan politik lebih besar melalui watak dan ceritanya. Mendiang bercerita tentang kolonialisme Eropah dan ingatan kolektif.
Lantas Fathi berkata kepada pengecam PMX “saya cadang elok mereka berkenalan dengan buku ini untuk mengenali siapa manusia bernama Gabriel Garcia Marquez”.]
Buku yang dimaksudkan itu judulnya Gabriel García Márquez: A Life (2010) kajian penyelidik terkenal Gerald Martin selama 17 tahun. Buku ini disifatkan biografi yang disahkan sendiri oleh Marquez.
Untuk memahami novel pendek Until August dan mengenali secara ringkas pengarang Colombia ini, baca pandangan seorang lagi penyelidik.
PAUTAN pada bahagian komen.
Anwar Ibrahim mendapat pujian hasil kenyataan tegasnya mengenai
konflik di Gaza diluahnya semasa lawatannya ke Jerman tempoh hari. Apa yang
dikatakan perdana menteri tidak perlu saya perinci di sini kerana pasti ramai
sudah tahu. Cukup untuk dinyatakan bahawa Anwar “diasak” wartawan Jerman pada sidang
media di Berlin mengenai pendirian keras Malaysia terhadap Israel dan
keengganan menggelar Hamas kumpulan pengganas.
Ringkasan reaksi Anwar begini. Dasar Malaysia kata beliau adalah
konsisten – menentang penjajahan, aparteid, penghapusan etnik dan rampasan
harta di mana-mana negara tidak kira Ukraine atau di Gaza.
“Kita tidak boleh padam 40 tahun kezaliman dan pengusiran yang
mengakibatkan reaksi dan kemarahan pihak yang menjadi mangsa. Hubungan kami
dengan Hamas adalah dengan sayap politiknya dan kami tidak perlu rasa bersalah
atau perlu minta maaf tentang hal ini,” kata beliau.
Sememangnya kata kata Anwar berapi dan tidak apologetik. Sidang
media beliau masih boleh ditonton di YouTube secara keseluruhan atau pun
sedutan beberapa klip. Yang jelas naratif media Jerman malah antarabangsa
berbunyi “Malaysia lectures Germany on human rights”. Satu lagi “Malaysia
condemns West hypocrisy”.
Paling menarik kenyataan keras itu dibuat di hadapan Canselor
Jerman Olaf Scholz pada sidang media bersama di Berlin itu. Kita tahu Jerman
menyokong Israel dan menyifatkan serangan ganas Israel ke atas rakyat Palestin
di Gaza sebagai hak Israel mempertahankan diri setelah diserang Hamas 7 Okt
lalu. Pendirian Jerman, Olaf diulangi pada sidang media itu sebelum Anwar
berkata apa yang beliau kata.
Podcast Keluar Sekejap dikendali Khairy Jamaluddin dan Shahril
Hamdan baru- baru ini mengulas kenyataan Anwar. Kata KJ perlu diingat sidang
media diadakan di Jerman yakni “di gelanggang lawan” tetapi beliau kagum dan
bangga perdana menteri “tidak berlapik, tidak beralas malah respons beliau
bukan sekadar satu dua ayat tetapi respons yang komprehensif”.
Kata Shahril “dalam konteks ini PM kita tidak takut dan tidak
terbawa-bawa dengan suasana sesuatu tempat. Maksud saya bila kita pergi ke
tempat orang kita dikelilingi dengan suasana tertentu. ‘Mindset’ kita mungkin macam
mana nak sesuaikan diri dengan keadaan dan kita boleh kompromi dengan apa yang
kita percaya. Dalam hal ini saya yakin jika pemimpin yang tidak tegas dalam
pendiriannya akan ‘just follow the flow’ dia akan keluarkan kenyataan yang ok
ok untuk selesaikan soalan ini dan pergi ke soalan seterusnya”.
Kesimpulannya KJ dan Shahil berpendapat PMX “mengharumkan nama
Malaysia dan tegas di hadapan pemimpin Jerman dalam isu Palestin”.
Dalam penerbangan pulang ke tanah air dari Hamburg setelah apa
yang Anwar sifatkan “a hectic, punishing but highly productive official visit
to Germany”, beliau mungkin untuk relaks membaca buku berjudul “Until August”.
Gambar beliau membaca buku dalam ‘flight’ dipos di Facebook.
Bukan sesuatu yang pelik Anwar baca buku. Beliau dikenali
penggemar dan pembaca tegar buku khususnya karya besar sasterawan dan penulis
terkenal dunia. Buku “Until August” dikarang Gabriel Garcia Marquez sasterawan
“luar biasa”, kata penggemar buku.
Anwar dikata banyak membaca karya Marquez atau Gabo. Tetapi karya
kali ini agak berbeza. ‘For starters’ ia nipis. Cuma lebih kurang 130 muka
surat. Menurut hantaran Facebook Anwar menyifatkan buku itu sebagai “a fine
read” walaupun tidak mencapai kehebatan karya Gabo terdahulu. “But I am not
complaining” kata beliau sambil menyifatkan buku itu sesuatu yang menarik dan
sukar untuk berhenti baca.
“Until August” dicetak setelah Gabo meninggal dunia. Sebenarnya
mendiang tidak mahu lantas tidak izin buku itu dicetak. Bagaimanapun
anak-anaknya tidak pedulikan pesan si ayah. Lahirlah “Until August” untuk
sajian seluruh dunia.
Sebaik hantaran di Facebook Anwar membaca buku itu seorang kawan
menghantar mesej melalui WhatsApp untuk memberitahu mengikut ulasan di media
sosial isinya “boleh tahan cabulnya”. Dan “jika ada musuh politik yang selidik
tentang isi novel ini tentu riuh-rendah jadinya”.
Memang betul jangkaan kawan saya. Bukan sekadar riuh-rendah. Anwar
dikecam dan diserang hebat. “Until August” menceritakan perihal seorang wanita
yang sudah bersuami pergi ke Pulau Caribbean setiap bulan Ogos mencari cinta
baharu dengan lelaki lain.
Pengkritik Anwar melihat buku itu bagai “porno”. Mereka pantas dan
tangkas membidas, mengkritik dan menyerang. Pelbagai tuduhan dilempar di media
sosial menggunakan bahasa kasar dan kesat yang saya tidak cadang mengulanginya.
Sekadar menyatakan mereka mencemuh Anwar kerana membaca “Until August” terutama
pada bulan Ramadan.
“Amalan membaca memang mulia dan sepatutnya diteladani.
Menunjukkan kepada masyarakat kepentingan membaca juga sesuatu yang harus
dipuji. Tetapi bukan semua buku sesuai dibaca oleh semua orang. Tak semua yang
kita baca boleh ditayang kepada umum. Malah apa keperluan?” kata salah seorang
pengkritik Anwar. Kritikan beliau adalah antara yang “sopan”. Tidak ramai yang
sesopan itu.
Seorang kawan lama yang amat meminati presiden PAS menyiarkan di
Facebooknya gambar Hadi Awang membaca buku mengenai takwa untuk dibandingkan
dengan gambar Anwar membaca “Until August”. Mengiringi gambar ditulis kapsyen
“dua-dua suka buku”. Rasanya boleh difahami mesej apa yang mahu disampaikan.
Saya tampilkan Fathi Aris Omar aktivis media yang umum tahu
penggemar dan pembaca tegar buku-buku hebat. Kata beliau menerusi Facebook:
“Anwar tidak membaca buku lucah apabila menghabiskan Until August. Bukan begitu
tumpuan Marquez walau selalu muncul cerita anak haram, hubungan sulit,
kecurangan atau pelacur dalam karyanya”.
Kata beliau, Marquez seperti sasterawan besar abad ke-20 mengupas
persoalan budaya dan politik lebih besar melalui watak dan ceritanya. Mendiang
bercerita tentang kolonialisme Eropah dan ingatan kolektif.
Lantas Fathi berkata kepada pengecam PMX “saya cadang elok mereka
berkenalan dengan buku ini untuk mengenali siapa manusia bernama Gabriel Garcia
Marquez”.
Nasihat yang bagus pada hemat saya. Cuma bagi pengecam Anwar
mereka lihat apa yang mahu dilihat dan percaya apa yang mereka mahu percaya.