Marwan Zulkifli
1. Media sosial sedang ribut tentang isu pembukaan kantin di
sekolah pada bulan puasa. Pada pandangan saya, memang relevan jika ada Muslim
yang tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Pendidikan yang membenarkan
kantin-kantin sekolah dibuka untuk memudahkan para pelajar bukan Muslim
mendapatkan makanan waktu rehat.
2. Saya menyebut relevan kerana ada sudut pandang yang boleh
diterima. Namun, dalam masa sama tidak patut untuk bermudah-mudah menggunakan
label yang diguna secara longgar seperti liberal atau “rahmah yang tidak
rahmah”. Sebabnya ini isu polisi yang ada sisi pro dan kontra.
3. Memang mudah sahaja untuk mengutip pendapat-pendapat ulama
yang bertegas dalam soal ini dengan menggunakan kaedah “bukan Muslim menjaga
sensitiviti umat Islam di negara Islam” sama ada dalam karangan klasik mahupun
kontemporari. Katakan, secara umumnya kita boleh menerima kaedah itu sebagai
salah satu yang penting demi keharmonian masyarakat, namun sejauh mana isu
membuka kantin yang sedang hangat ini termasuk dalam aplikasi kaedah tersebut?
Adakah dengan arahan membuka kantin itu bermaksud menggalakkan agar tidak
menjaga sensitiviti umat Islam? Kalau tidak makan di kantin, adakah kena makan
di kelas atau di tempat duduk berhampiran kelas yang lagi mudah dilihat
anak-anak pelajar Muslim?
4. Saya berpandangan isu tersebut tidak termasuk dalam kategori
tidak menjaga sensitiviti kerana yang diarahkan untuk dibuka ialah kantin. Para
pelajar Muslim tidak pergi ke kantin ketika bulan puasa. Malah saya fikir,
dengan sikap mudah menghukum sebahagian masyarakat hari ini, pelajar Muslim
yang ada keuzuran daripada berpuasa seperti sakit dan sebagainya pun tidak akan
pergi ke kantin pada bulan puasa. Jadi, pengasingan sudah berlaku dan makan di
kantin sekolah pada bulan puasa sudah tidak termasuk melanggar sensitiviti.
5. Apatah lagi isu ini melibatkan para pelajar yang dalam usia
adik dan anak kita walaupun mereka tidak seagama dengan kita. Tidak sewajarnya
kita berlebih-lebihan hingga ke tahap ini.
6. Oleh yang demikian, isu ini melibatkan dasar awam, justeru
bersifat boleh dibahaskan lagi sudut-sudut maslahah dan mafsadahnya. Pandangan
yang dipetik daripada beberapa fuqaha' juga sebenarnya bersifat tarik-menarik
antara maslahah dan mafsadah. Pihak pentadbiran sekolah juga boleh diberi
kepercayaan untuk mengurus isu ini dengan bijaksana dalam kerangka kebenaran
membuka kantin oleh pihak kerajaan. Jadi, tiada pandangan muktamad dan
terlampau jelas sehingga boleh laju dan melampau dalam memberi aneka label kepada
pihak yang dikritik.
7. Adakah ini bermaksud orang Islam terlalu mengalah, terlampau
toleransi atau “terpaling” rahmah? Jawabnya, saya tidak faham mengapa tindakan
sebegini dianggap sebagai “mengalah” dari pihak Muslim? Apa sebenarnya yang
kita telah mengalah? Lagi-lagi hal ini melibatkan anak-anak pelajar yang
senegara dengan kita dan ruang kantin pula tidak lagi dikunjungi pelajar Muslim
pada bulan puasa sebagaimana telah diterangkan sebentar tadi. Kita juga tidak
sesekali mengalah dari segi kepercayaan bahawa puasa wajib kepada Muslim. Kita
juga bersetuju bahawa pendidikan kepada pelajar untuk berpuasa adalah dengan
menyediakan suasana yang menyokong mereka untuk berpuasa. Jadi, tidakkah wajar
kita berdebat isu sebegini dengan sekadarnya tanpa melampau?
8. Saat isu yang terbuka kepada perdebatan ini dibingitkan
secara berlebihan oleh sesetengah ahli akademik dan agamawan, anehnya
sebahagian pihak pandang sepi sahaja isu 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan
terbabit pengubahan wang haram atas penderitaan rakyat Palestin. Sedangkan isu
pecah amanah ini lagi wajar diberi perhatian besar termasuk mendesak kerajaan
bertindak dengan peraturan lebih jelas untuk mengawal pertubuhan dan NGO yang
mengutip dana awam dan kegiatan kemanusiaan.
9. Selamat berpuasa, berbahaslah dan promosilah pandangan anda
tapi jangan melampau.