Saya dapati (sebahagian) netizen kita di medsos mengalami masalah "kemurungan hati" yang mana semua benda nak diviralkan, diluahkan dan diwar-warkan atau dikepohkan kepada umum. Mereka mahu anak-anak tidak berpuasa pun, mereka akan salahkan environment orang yang berpuasa sehingga mengaitkan kehendak mereka dengan hujah agama secara selektif. "Islam tidak pernah menyuruh hormat orang berpuasa!" antara kata-kata pelik yang baru muncul. Ada juga yang mempertikaikan berbuka puasa pada waktu Maghrib sekarang ini atas alasan langit masih terang (belum malam sepenuhnya), lalu dilontarkan kepada masyarakat awam untuk kononnya difikirkan bersama. Ada juga yang mempertikai kenapa perlu baca 30 juzuk dalam solat tarawih sepanjang Ramadan atas alasan menyusahkan jemaah yang terdiri dari orang tua, wanita yang membawa anak-anak kecil dan orang lain. Saya pun hairan, adakah ini masalah dirinya atau mempermasalahkan orang lain untuk dirinya?.
Begitu juga hukum-hukum asas berpuasa yang tidak dipermasalahkan secara serius oleh majoriti orang yang berpuasa seperti isu niat (setiap malam atau terus sebulan), isu bilangan rakaat tarawih, isu solawat antara tarawih dan sebagainya, sengaja diperbesarkan dengan serius seolah-olah ianya perkara baru wujud sehari dua yang tiada penjelasannya oleh ulama. Walhal jika ditelaah kitab-kitab fiqh mazhab Syafie dan mazahib lain (bukan kitab tafsir atau kitab hadis), kita jumpa perbahasan ini. Kalau kita silap baca rujukan sumber, kefahaman kita tentang hukum juga akan bermasalah.
Itu tak termasuk lagi, luahan harga mahal, tidak sedap atau cacat pada makanan terjual di bazar Ramadan. Dah memang kita tahu tidak sedap, kenapa harus pergi juga membeli?. Kita tidak suka, mungkin ada orang yang tasteless suka. Kita kata mahal, mungkin bagi orang berduit kata murah. Kita kata huduh, orang yang asalkan boleh makan akan kata menarik. Macam orang yang kata 'rindu masakan mak' walhal kalau orang lain makan masakan ibunya, akan kata tidak sedap langsung. Berkompromilah dalam hal ini sebagaimana berkompromi dengan masakan ibu kalian yang tidak sedap itu.
Semua ini berpunca dari masalah adab dan taklim (pembelajaran) yang tidak sempurna, teratur dan hasil bimbingan guru yang mursyid. Hati yang murung selalunya disebabkan masalah keikhlasan kita dengan Allah SAW, kefahaman yang tidak betul pada hukum syarak dan kejauhan diri dari banyak berzikir, solawat, wirid dan bacaan al-Quran.
Dr. HK
15.3.2024