Mahiaddin Md Yassin semalam mengumumkan bahawa
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bersama PN dalam jelajah
ke seluruh negara yang bakal digerakkan gabungan tersebut.
Kata beliau, Syed Saadiq telah menyatakan
kesediannya untuk bersama di pentas PN dalam jelajah ke seluruh negara mengenai
isu-isu semasa nanti.
Siri jelajah itu juga, tambah Mahiaddin, akan
memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kedudukan dan peranan PN.
“Pasal Syed Saddiq pun menyokong kita.
Walaupun beliau tidak menyertai dalam PN, tapi pro kita.
“Kita PN di peringkat tertinggi telah buat
keputusan, kita akan mengadakan jelajah di semua negeri untuk menjelaskan
isu-isu semasa.
“Dan mendengar rintihan rakyat di bawah dan
apa peranan PN boleh lakukan untuk menanganinya,” ujar beliau.
Pada 9 November 2023, Syed Saddiq Syed Abdul
Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua kali
sebatan selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan bersubahat melakukan
pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu
Anak Muda (Armada).
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat
keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan
munasabah di akhir kes pembelaan.
Berhubung pertuduhan yang dihadapinya itu,
pada 23 Februari 2023 sebelum itu, ketika memberi keterangan di Mahkamah
Tinggi, Syed Saddiq memberitahu, beliau didakwa di mahkamah kerana enggan
menyokong Perdana Menteri ketika itu, Mahiaddin yang juga adalah Presiden
Bersatu.
Katanya, permintaan untuk menyokong Mahiaddin
bagi mengelak beliau didakwa di mahkamah, adalah sesuatu yang salah.
Tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu,
walaupun secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan Mahiaddin,
tetapi jika perkara itu (menyokong Mahiaddin) akan menghentikan pendakwaan, ia
adalah salah.
“Perkara itu diberitahu pegawai penyiasat yang
menyiasat saya dan serbu rumah saya,” katanya.
Sekarang, sementara Syed Saddiq sudah didapati
bersalah dan dalam proses rayuan, Mahiaddin yang didakwanya menyebabkannya
diheret ke mahkamah pula bukan lagi berjawatan Perdana Menteri.
Apa yang Syed Saddiq mahu dan harapkan dengan
kembali bersama jelajah PN yang diterajui Mahiaddin?
Adakah beliau percaya Mahiaddin boleh kembali
semula sebagai Perdana Menteri, meski Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri ada kes
mahkamah juga yang bakal dihadapinya? – ShahbudinHusin 10/03/2024.