Hari Wilayah Persekutuan yang
jatuh pada hari ini bukan sahaja mahu mengingatkan warganya mengenai sejarah 50
tahun lampau apabila Kerajaan Persekutuan mengambil alih kawasan Kuala Lumpur
daripada pentadbiran negeri Selangor dengan mewujudkan status pentadbiran khas.
Bagi Ahli Lembaga Penasihat
Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai Cheng Heng, tarikh 1 Februari tahun ini
seharusnya diperhatikan oleh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya
dan Labuan sebagai titik penting untuk membawa pembangunan yang lebih cemerlang
menuju era Teknologi Maklumat, Revolusi Industri 4.0 dan Kecedasan Buatan di
seluruh kawasan wilayah.
"Tema sambutan tahun ini
ialah "Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni". Tema ini mencerminkan visi
dan aspirasi Malaysia Madani untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai model
kecemerlangan, inovasi dan keharmonian untuk seluruh negara dan dunia.
"Wilayah Persekutuan telah
mencapai banyak kejayaan dan pencapaian dalam pelbagai bidang, seperti ekonomi,
pendidikan, kebudayaan, pelancongan, sukan dan kebajikan sosial," kata
Andre Lai dalam kenyataan.
Tambah beliau, istimewa bagi
Kuala Lumpur pada tahun 2024 ini akan menjadi tahun penentuan bagi Kuala Lumpur
yang telah melancarkan agenda pembaharuan seperti Pelan Struktur Tempatan Kuala
Lumpur 2040 dan implementasi ’Social Impact Assesment’, untuk memastikan
pembangunan yang lebih mampan dan lestari.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
katanya, telah memupuk budaya penglibatan sivik, kerjasama, dan keterangkuman
melalui platform seperti Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur dan Sistem
Pengurusan Aduan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
"Wilayah Persekutuan dan
Kuala Lumpur, diberkati dengan agenda pembaharuan oleh pemimpin berkaliber
seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha
Mustafa dan Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman.
"Saya mengenali kedua-dua
mereka sebagai pemimpin yang amat rajin dan berdedikasi untuk mendukung
aspirasi Malaysia Madani.
"Khususnya Datuk
Kamarulzaman, yang menjadi kenalan semenjak beliau berkhidmat sebagai Pengarah
Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta DBKL.
"Semenjak perlantikan
sebagai Datuk Bandar, Kuala Lumpur telah ditadbir dengan profesional, cekap dan
berinovasi. Sebagai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, saya telah
menjadi saksi keberkesanan pentadbiran DBKL," ujarnya.
Kata Andre Lai, menyahut
saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, banyak inisiatif telah
dilancar seperti projek Lestari Niaga dan Residensi Madani demi memastikan
Kuala Lumpur kekal sebagai bandar yang boleh didiami, mampan dan berdaya saing.
Begitu juga sepanjang bulan
Februari ini, terdapat banyak program dirancang untuk sambutan ulang tahun ke
50 penubuhan Wilayah Persekutuan.
"Demi menyantuni
masyarakat Cina dalam perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari pula, DBKL akan
mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina dan menjadi tuan rumah buat pertama
kalinya untuk KL Prosperity Walk pada hari Chap Goh Meh 24 Februari nanti.
"Marilah kita terus
berganding bahu untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai tempat kemajuan
dan kemakmuran, tempat keharmonian dan kebahagiaan, tempat kebanggaan dan
kegemilangan. 2024, akan menjadi tahun penentuan," katanya lagi.