TAPI MENTERI KOMUNIKASI TU TAK ADA ADEA UNTUK NAK BANTU BOSS DIA...LAMBAT DAN LEMBAB UNTUK BERTINDAK.

 



RASANYA TIBA MASA ANWAR PERLU DIMUNCULKAN MELALUI  SLOT KHAS TV PERJELAS KEJATUHAN RINGGIT 


Isu kejatuhan ringgit terus hangat diperkatakan di merata-rata dan nampaknya makin ramai yang berminat untuk turut membicarakannya.


Sama ada yang faham, yang separuh faham, yang buat-buat faham, yang tidak berapa faham atau yang tak faham langsung, masing-masing cuba tampil dengan hujah masing-masing.


Tetapi, dapatan di media sosial secara keseluruhannya, boleh dikatakan ebih 90 peratus netizen sedang seronok menyalahkan kerajaan atas kejatuhan ringgit yang sedang berlaku sekarang ini.


Selain yang membela dan mempertahankan kerajaan terlalu sedikit, ramai pula yang memilih berdiam dirindan hanya menulis atau bercakap tentang isu-isu yang lain.


Lebih seronok trend menyalahkan Anwar Ibrahim dalam isu ialah kerana nilai 4.80 yang dicecah ketika ini pernah menyamai kadar yang pernah berlaku pada 1998 dahulu.


Ketika 1998 itu Anwar adalah Menteri Kewwngan dan ketika ini pula beliau merupakan Perdana Menteri + Menteri Kewangan.


Jadi, sudah tentu amat menarik sekarang ini untuk menghenyak tentang kejatuhan ringgi dan hubung-kaitnya dengan Anwar.


Ditambah lagi, di waktu yang sama dimunculkan pula video-video lama mengandungi petikan ucapan Anwar ketika berada sebagai pembangkang sebelum ini yang didapati banyak sekali menghentam kerajaan setiap kali berlaku kejatuhan nilai ringgit.


Dengan itu, respon Anwar ketika kuasa sudah ada dalam genggamannya kini pastilah amat-amat dirindui.


Anwar pula menjadikan semua orang lebih rindu dendam lagi kerana tiba-tiba menolak untuk memberi komen mengenai kejatuhan ringgit yang sedang berlaku tika ini.


Kalaulah waktu ini ringgit sedang mengukuh, pastilah bercahaya-cahaya wajah Anwar melontarkan ulasannya.


Kata beliau semalam, Gabenor Bank Negara akan memberi penjelasan berkaitan hal itu.


Malangnya, meskipun setelah Gabenor Bank Negara memberi penjelasan dengan menyatakan kejatuhan ringgit tidak menjejaskan prospek ekonomi negara kerana pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya lebih didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh, penjelasan beliau seolah-olah tiada nilai, lalu tidak dipedulikan.


Hampir tiada yang mengulas atau menyebarluaskan penjelasan Gabenor Bank Negara itu bagi menjernihkan suasana.


Sehingga sekarang ini, kecenderungan menyalah dan mengasak kerajaan masih berterusan tanpa diketahui bila titik kesudahannya.


Kalau esok lusa ringgit jatuh lagi, pastilah lebih ganas asakan-asakan yang mendatang.


Dalam keadaan itu, terlebih malang lagi kerana pihak kerajaan sendiri, menteri-menteri, pemimpin-pemimpin parti yang mendukung kerajaan, jentera komunikasi serta media pro kerajaan, sama ada yang dibayar gaji atau upah dalam bentuk lain, turut senyap sunyi seolah-olah pengsan mati.


Ehhh….sampainya hati mereka membiarkan Anwar selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semacam bersendirian dibelasah kiri dan kanan oleh netizen.


Lalu, apa penyelesaian yang sepatutnya dilakukan?


Takkan nak dibiarkan berhari-hari dan berbulan lagi kerajaan madani dan Anwar dikecam oleh rakyatnya sendiri?


Dalam hal ini, saya tidak nampak ada cara lain melainkan Anwar sendiri selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atau dalam erti kata lain – di tangan kanan dan di tangan kirinyalah terletak bagaimana negara ini diuruskan – harus segera tampil secara terbuka memberi penjelasan kepada rakyat jelata yang sedang dirundung duka.


Meskipun rakyat tak beli nasi lemak atau berbelanja di pasar menggunakan dollar Amerika, tetapi mereka sedar bila ringgit jatuh, harga bawang automatik lebih mahal daripada biasa.


Maka itu, elok dalam sehari dua dapat dimunculkan satu slot khas di mana Anwar tampil secara langsung ke seluruh pelusuk negara melalui siaran televisyen untuk memberi penjelasan dan menjernihkan keyakinan rakyat berkaitan kejatuhan ringgit yang sedang berlaku sekarang ini.


Pasukan komunikasi di PMO dan Kementerian Komunikasi dengan segala macam kemudahan yang ada di bawahnya pula bertanggungjawab meneliti semua keluhan dan resah gelisah untuk di pelbagai saluran media sosial yang kemudian semua itu perlu diberi penjelasan oleh Anwar melalui slot khas berkenaan.


Barangkali ini boleh meredakan suhu gelisah rakyat daripada terus berpanjangan, lagi pun tiada selain Anwar sebagai sosok yang paling berwibawa untuk muncul berhadapan dengan rakyat dalam isu jatuhnya ringgit ini. – ShahbudinHusin 21/02/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/02/21/rasanya-ada-kewajaran-untuk-anwar-segera-dimunculkan-melalui-slot-khas-tv-perjelas-kejatuhan-ringgit.html