Sebagai langkah untuk meredakan kemarahan UMNO
berikutan tindakannya mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai
tapak warisan dunia Unesco, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor
Ming dengan segera cuba mengajak pemimpin parti itu untuk bertemu serta
berbincang dengannya.
Katanya, langkah itu bagi mengelak salah faham
dan memahami isu berkaitan.
Sebagau responnya, Presiden UMNO, Ahmad Zahid
Hamidi kemudian berkata, mereka sedia bertemu tetapi tetap menolak cadangan Nga
Kor Ming itu.
Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal
Salleh dan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan keras membantah
hasrat untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan
dunia Unesco.
Mereka menyifatkan cadangan Nga Kor Ming itu
bersifat perkauman dan memecah-belahkan keharmonian masyarakat di negara ini.
Secara jujurnya, hasrat Nga Kor Ming itu
memang tidak kena dan tidak sesuai, bukan saja dalam konteks perpaduan dan
kepelbagaian kaum yang ada, bahkan juga tidak tepat dari dari segi sejarahnya.
Lebih tidak kena kerana kerajaan yang
mentadbir negara ketika ini ialah kerajaan perpaduan yang tidak patut sama
sekali menonjolkan keutamaan kepada sesuatu kaum saja.
Sebagai menteri di mana DAP berada di dalam
kerajaan bersama pelbagai parti lain termasuk UMNO, Nga Kor Ming sepatutnya
lebih berjiwa Malaysia daripada mengutamakan kaumnya saja.
Lagi pula, dalam konteks kampung, yang
betul-betul boleh dianggap sebagai warisan ialah penempatan orang asli.
Selepas itu, barulah kampung-kampung tradisi
yang didiami oleh orang Melayu.
Kampung Baru Cina hanya diwujudkan sekitar
tahun 40-an dan 50-an sebagai kaedah membendung pengaruh dan simpati kaum Cina
kepada pemberontak komunis.
Dengan itu, di mana logiknya Kampung Baru Cina
mahu dijadikan tapak warisan dunia Unesco?
Oleh kerana DAP sudah berada dalam kerajaan,
pemimpin-pemimpin parti itu seharusnya tidak terbawa-bawa secara keterlaluan
dengan sentimen perkauman parti yang dianggotai dalam tindakan yang mahu
diambil.
Berbuat demikian hanya mengesahkan lagi
tanggapan umum, khususnya di hati orang-orang Melayu selama ini bahawa DAP adalah
sebuah parti yang pekat chauvinis Cinanya.
Apabila sudah berada di dalam kerajaan dan
menerajui kementerian, sebarang tindakan mestilah untuk kepentingan semua
rakyat tanpa mengira kaum serta keturunan.
Dalam hal ini, adalah disarankan agar Nga Kor Ming
menarik balik dan membatalkan saja secara serta-merta hasratnya ingin
mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia Unesco
itu.
Selain tidak sesuai dan tidak menepati konteks
warisan dunia, isu ini juga jika dibiarkan berterusan hanya memberi peluru
kepada pihak pembangkang untuk menyerang dan melemahkan lagi sokongan orang
Melayu kepada kerajaan.
Carilah benda lain yang bersifat kepelbagaian
kaum dan melambangkan wajah Malaysia yang sebenar jika Nga Kor Ming ingin juga
mencipta nama berjaya meletakkan sesuatu sebagai tapak warisan dunia Unesco
sepanjang berpeluang memegang jawatan sebagai menteri.
Dalam konteks yang lebih luas, sudah sampai
masanya untuk Nga Kor Ming segera berubah dengan memiliki jiwa Malaysia yang
sebenar dalam jawatan kerajaan yang disandang jika mahu DAP diterima lebih lama
dalam berada kerajaan dan tidak ditakuti, khususnya oleh orang-orang Melayu
yang merupakan penduduk majoriti dan teras di negara ini. – ShahbudinHusin
12/02/2024.