Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU
355) yang menjadi bahan polemik politik parti pembangkang Pas kerana cuba
dibentang melalui usul persendirian oleh Ahli Parlimen Marang, Hj Hadi Awang
namun tidak diusik langsung sepanjang parti itu berkuasa pada 2020 - 2022 akan
dibentangkan oleh Kerajaan Perpaduan pada tahun ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk
Dr Mohd Na'im Mokhtar, sesi libat urus meminda RUU itu kini di peringkat akhir
dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen.
"Setakat ini libat urus yang dilakukan telah berjalan, dan
semua negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah Negeri dan
Jabatan Agama Islam Negeri telah dijemput menghadiri sesi libat urus tersebut.
"Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd
Yusoff bahawa libat urus itu di peringkat akhir, jadi laporan belum lagi
disediakan dan mereka akan sediakan laporan libat urus itu kepada saya,"
katanya dipetik Bernama.
Beiau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran
Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024 yang dilakukan
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, pagi tadi.
Pihak Pas sebelum ini mempersoalkan kenapa RUU 355 tidak
diteruskan bagi menambah hukuman jenayah syariah agar hukum takzirnya menyamai
hukuman di Mahkamah Sivil.
Sebelum ini, kertas cadangan RUU itu sudah berada di peringkat
Jabatan Peguam Negara namun tidak sempat dibentangkan berikutan Parlimen
dibubarkan pada 10 Oktober 2022.