PESANAN KEPADA SALLEH SAID KERUAK, JANGAN SAMPAI ANWAR JADI MANGSA KEDUA SELEPAS NAJIB

 


Walaupun Anwar Ibrahim sendiri akhirnya tampil menjelaskan tentang isu kejatuhan nilai ringgit yang ketika ini berada pada kadar paling rendah sejak lebih 26 tahun lalu, tetapi saya agak rimas dengan hujah yang dikemukakan oleh bekas menteri dari Sabah, Salleh Tun Said Keruak.


Saya yakin, ramai yang lain turut sama rimas dengan hujah beliau kali ini.


Dalam cubaannya untuk turut mempertahankan kerajaan atau barangkali lebih tepat mahu membodek Perdana Menteri, beliau berkata, pihak pembangkang patut dipersalahkan susulan kejatuhan nilai ringgit yang berlaku sekarang ini.


Bekas menteri ketika era Najib Razak dan pernah juga menjadi Ketua Menteri Sabah itu berkata, ini kerana pembangkang terus bercakap tentang agenda menjatuhkan kerajaan sehingga menyebabkan keyakinan pelabur terjejas.


“Kestabilan politik ialah kunci kepada keyakinan pelabur asing ke negara ini, dan memberi kesan terhadap pertukaran asing mata wang tempatan.


“Jika pembangkang asyik bercakap tentang hasrat mereka untuk menjatuhkan atau menukar kerajaan kepada media asing, ia tentunya memberikan gambaran negatif tentang negara ini, yang akan menjelaskan keyakinan pelabur asing dan menghindar pelaburan asing ke negara ini,” kata beliau.


Agaknya Salleh ini lupa, salah satu sebab Najib kalah PRU14 adalah kerana bodekannya yang keterlaluan ketika beliau diberikan jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia pada waktu itu.


Sebelum dilantik sebagai menteri pada 2015, beliau kerap tampil membodek Najib dengan menyerang pembangkang ketika itu, khususnya Tun Mahathir Mohamad yang mengetuai PH.


Bagaimanapun seni bodekan Salleh terbukti gagal apabila BN serta Najib kalah pada PRU14 yang diadakan di tahun 2018.


Kekalahan BN itu juga membuktikan Salleh gagal sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam peranan membina lebih kukuh pengaruh Najib sepanjang beliau memegang jawatan menteri antara tahun 2015 hingga 2018 itu.


Setelah BN kalah dan ketika Anwar terlihat hampir pasti menggantikan Tun Mahathir selepas PRU14 berdasarkan janji peralihan kuasa, Salleh pernah mengumumkan untuk menyertai PKR tetapi hasrat itu tidak menjadi kenyataan apabila Anwar juga tidak berjaya menggantikan Tun Mahathir.


Salleh lalu kembali semula kepada UMNO dan kemudian dipilih bertanding di Usukan mewakili BN dalam PRN Sabah tahun 2020.


Sebenarnya Salleh ini sudah jarang-jarang muncul bersuara, tetapi suara terbarunya dengan menyalahkan pembangkang dalam isu kejatuhan ringgit ini tidak lebih seperti cubaannya untuk kembali semula membodek Perdana Menteri.


Wahai Salleh, kenapa mesti disalahkan pembangkang?


Bukankah yang ada kuasa dan sedang mentadbir negara ialah kerajaan?


Memang kerja pembangkang mahu menjatuhkan kerajaan, sama seperti kerajaan juga yang sentiasa mahu menjadikan pembangkang kekal sebagai pembangkang, jadi itu adalah norma yang harus diterima dalam sistem demokrasi yang ada.


Ia sama seperti PH yang sebelum ini berkali-kali cuba untuk menjatuhkan kerajaan ketika mereka bergelar pembangkang.


Pernahkah kerajaan pada waktu itu menyalahkan pembangkang atas masalah yang berlaku kepada negara?


Dengan kuasa yang ada, siapa pun sebagai kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab mereka mengurus negara, termasuk dalam soal menarik pelabur, mengukuhkan ekonomi, menstabilkan ringgit, menangkis persepsi dan sebagaimanya.


Menyalahkan pembangkang hanya memperlihatkan kerajaan tidak ada kekuatan.


Kalau begitu, apakah jika pembangkang tidak ada atau diharamkan, nilai ringgit akan serta-merta boleh naik?


Pesanan kepada Salleh, kalau ia pun mahu membodek Anwar, biarlah membodek dengan hujah yang logik, masuk akal dan tidak memperlihatkan kerajaan seolah-olah tiada wibawa mentadbir negara.


Berhentilah membodek dengan seni sebegini, takut nanti Anwar hanya jadi mangsa bodek semata-mata, tetapi gagal mengekalkan kuasanya kerana terlalu dikhayalkan sepertimana berlaku kepada Najib sebelum ini. – ShahbudinHusin 24/02/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/02/24/ingatan-kepada-salleh-tun-said-keruak-jangan-jadikan-anwar-mangsa-kedua-selepas-najib.html