Rakyat
dan pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman atau mahu bekas
Perdana Menteri (PM) Najib Razak dibebaskan sewajarnya menghormati keputusan
dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.
Menurut
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, keputusan telah pun dibuat dalam
lembaga yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara, Ketua
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang undang dan 3 penasihat yang dilantik Agong
baru baru ini.
"Seperti
kita maklum, Perkara 42 (1) Perlembagaan menetapkan bahawa tuanku mempunyai
kuasa membuat sebarang keputusan dan kita hormat keputusan yang telah dibuat.
"Memang
sebarang keputusan akhirnya adalah kuasa tuanku. Tetapi saya sedia maklum
pandangan disampaikan oleh rakan rakan.
"Seperti
yang disebut oleh PM sendiri dengan keputusan yang dibuat oleh Lembaga
Pengampunan maka ada beberapa perkara yang boleh disusuli, dan saya percaya di
pihak kerajaan kita ambil maklum reaksi, ada yang setuju dan tidak
setuju," katanya kepada media di Pahang, pagi ini.
Menurut
Fahmi, perbuatan mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong berkenaan
pengurangan hukuman ke atas Najib sejak semalam perlulah dihentikan sama sekali
kerana hal pengampunan itu merupakan kuasa mutlak di bawah Perlembagaan.
"Ini
adalah kuasa tuanku dan tidak boleh dipersoal di mahkamah. Kalau di mahkamah
tak boleh dipersoal saya pohon kita hormat keputusan ini.
"Namun
ada beberapa yang boleh kita teliti, termasuk lembaga parol, termasuk
permohonan baharu contohnya kepada Lembaga Pengampunan," ujarnya.
Bagaimanapun hal itu kata beliau terlalu awal untuk diulas.
Dalam
perkembangan berkaitan, Fahmi juga menegur pemimpin mahu pun ahli KEADILAN yang
membuat komen tanpa berfikir panjang.
Katanya,
mereka seharusnya menghormati rakan komponen Kerajaan Perpaduan.
Manakala
dalam kes Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang baru baru ini
mengkritik urusan dalaman UMNO, Fahmi berkata, beliau telah mengeluarkan amaran
keras mengenainya.
"Saya
mahu memberi teguran kepada beberapa pimpinan politik, mungkin termasuk
daripada parti saya sendiri. Saya rasa kita semua perlu bermuhasabah dan tidak
terlalu pantas memberi komen. Terutama ada pihak (pembangkang) menangguk di air
keruh.
"Dalam
kes YB Hassan Karim, MP Pasir Gudang, tetapi beliau agak lantang dalam beberapa
perkara. Bagi saya pendapat beliau itu pandangan peribadi bukan mewakili parti.
Saya ada berhubung dengan beliau dan membei teguran keras tentang perkara
ini," katanya.
Kelmarin
Hassan memberikan pandangan yang mencetuskan kemarahan pemimpin UMNO dan
dianggap mencampuri urusan dalaman parti tersebut.